Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan merancang akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan industri digital serantau dalam usaha untuk melonjakkan aktiviti ekonomi digital negara.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, ekonomi digital merupakan salah satu daripada tiga sektor yang strategik bernilai tinggi yang mampu merancakkan pelaburan dan menawarkan pekerjaan yang bergaji tinggi kepada rakyat yang diberi tumpuan oleh kementerian dalam penstrukturan semula ekonomi negara.
Selain melonjakkan industri sedia seperti semikonduktor, perkilangan, minyak dan gas, komoditi ke peringkat rantaian nilai yang bernilai tinggi dengan fokus kepada proses penghiliran nilai tinggi dan terdapat tiga sektor strategik yang akan diberikan tumpuan oleh Kementerian Ekonomi iaitu peralihan tenaga ke arah tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan keterjaminan makanan.
Kementerian ini juga kini sedang bekerjasama dengan kementerian lain yang terlibat di dalam ekosistem ekonomi digital iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian dan Digital; dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk merancakkan lagi ekonomi digital di Malaysia.
Beliau juga menjelaskan bahawa kerjasama tersebut perlu untuk menyelaraskan sistem sokongan awam yang dilaksanakan melalui pelbagai agensi ke arah pendekatan bersepadu untuk menambahbaik ekosistem digital yang lebih berkesan.
Ini akan meningkatkan jumlah dan prestasi syarikat pemula serta mempercepatkan peralihan sektor swasta kepada ekonomi digital, tambah beliau.
Tujuan kerjasama dengan kementerian yang lain adalah untuk memulakan pembangunan konsep dan penyelarasan fungsi di antara agensi-agensi kerajaan ke arah pelaksanaan kerajaan digital yang menghasilkan produk-produk perkhidmatan awam yang berasaskan data dan digital secara bersepadu.
Satu langkah utama untuk mencapai kedua-dua sasaran ini ialah meningkatkan daya tarikan kuala lumpur sebagai pusat syarikat pemula dan industri digital serantau untuk menarik pelaburan dan bakat digital ke nagara ini.
“Perubahan agresif diperlukan untuk mencakupi pelbagai bidang termasuklah penyatuan agensi-agensi kerajaan, proses visa pekerjaan yang lebih cekap dan terbuka, insentif digital yang menarik dan penghasilan tenaga kerja dalam industri digital pada skala nasional, ”katanya.
Menteri ekonomi itu juga turut berbincang dengan Jack Selby yang merupakan kakitangan terawal PayPal bersama-sama kumpulan pengasas syarikat seperti Elon Musk, Peter Thiel dan Reid hoffman semasa menghadiri forum ekonomi Qatar baru-baru ini.
Jelasnya lagi, kumpulan pengasas PayPal menjadi tenaga utama yang megggerakkan industry digital dari Sillicon Valley melalui penglibatan mereka di dalam syarikat-syarikat digital terkenal seperti Tesla, SpaceX,Youtube, Facebook,LinkedIn dan Open AI.
Beliau juga menyatakan bahawa Selby kini merupakan Pengarah Urusan Thiel Capital dan pencetus Arizona technology innovation summit turut melahirkan minat untuk membantu membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat syarikat pemula dan industri digital serantau.
“Kepakaran beliau akan membantu Malaysia untuk merangka dasar yang lebih mesra syarikat pemula dan mewujudkan jaringan Kerjasama dalam bidang digital yang akan melonjakkan nama Kuala Lumpur sebagai destinasi utama industri digital di rantau ini, ”katanya.
Menteri ekonomi itu juga turut menyatakan bahawa dasar dan inisiatif khusus akan di umum secara berperingkat dalam menzahirkan Hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai daya tarikan syarikat pemula serantau.