Diterbitkan pada 29 Mei 2023, 12:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan Malaysia dan Indonesia akan mengadakan pertemuan serta sesi libat urus bersama dengan barisan kepimpinan tertinggi Kesatuan Eropah (EU) tentang pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) semasa misi bersama di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Sawit (CPOPC).

Misi bersama ke ibu pejabat EU di Brussels, Belgium bermula dari 28 Mei sehingga 4 Jun 2023 yang telah diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama-sama dengan Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Dr. Airlangga Hartato.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KPK Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama-sama dengan Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Dr. Airlangga Hartato dalam sesi  libat urus pelaksanaan EUDR .

KPK dalam satu kenyataannya pada 27 Mei 2023 berkata misi tersebut merupakan tindak balas susulan pengumuman pelaksanaan EUDR dan EU pada 6 Disember 2022 yang bertujuan untuk menghalang penebangan hutan oleh aktiviti pertanian di seluruh dunia.

Sesi libat urus dan pertemuan melibatkan kedua-dua menteri itu akan diadakan dengan anggota CPOPC yang lain mengenai pelaksanaan EUDR yang bukan sahaja menindas sektor agrikomoditi secara amnya dan industri sawit secara khusus malah hal tersebut juga menjejaskan mata pencarian jutaan pekebun kecil.

Tambah kementerian itu, EUDR dianggap sebagai suatu kawalan bukan tarif yang boleh memberi kesan negatif terhadap perdagangan bebas dan adil, khususnya apabila hal tersebut lebih disasarkan kepada agrikomoditi tropika dari negara yang membangun serta boleh menjejaskan rantaian bekalan global.

Malaysia merupakan satu daripada negara anggota CPOCP yang terlibat secara aktif dalam platform bersama ini di peringkat global untuk meneruskan agenda bagi memerangi kempen negatif pihak barat ke atas minyak sawit. Sesi libat urus  dengan EU adalah untuk mencapai hasil yang akan  memberi manfaat kepada kedua-dua negara pengeluar dan pengguna sawit .

Selain itu, Malaysia dan Indonesia juga bersetuju untuk memulakan misi bersama tersebut dalam satu pertemuan di Jakarta, Indonesia  pada 9 Februari lalu apabila kedua-dua menteri tersebut mencapai persetujuan untuk terus menjaga kepentingan sektor sawit menerusi pengukuhan usaha dan menangani diskriminasi terhadap minyak sawit.

Selanjutnya, KPK menjelaskan bahawa United Kingdom (UK) merupakan rakan dagangan ke-23 paling penting kepada Malaysia dan ketika ini UK masih dalam proses rundingan untuk menjadi perjanjian komprehensif progresif bagi perkongsian trans-pasifik  (CPTPP).

Sektor agrikomoditi merupakan antara sektor yang penting bagi Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dagangan dengan UK melalui jawatankuasa bersama bagi Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan Dua Hala Antara Malaysia dan United Kingdom (MUKJC) dan Dialog Perdagangan Hutan, Pertanian dan Komoditi (FACT).

Dialog FACT ialah platform dialog antara negara  pengeluar dan negara pengguna untuk menjadikan perdagangan agrikomoditi global lebih mampan. Fadillah juga telah mengadakan pertemuan dengan beberapa Menteri berkaitan dengan sektor agrikomoditi di UK dan Menteri-menteri lain sewaktu lawatan rasmi beliau di London.

Beliau juga telah menyampaikan ucap tama dalam Forum Minyak Sawit Mampan Antarabangsa (ISPOF) anjuran KSI Strategic Institute For Asia Pacific (KSI) dan Malaysia -link UK dan lawatan kerja ke Tun Abdul Razak Research Centre (TARCC), yang merupakan satu daripada pusat penyelidikan dan pembangunan getah utama dunia.

KPK  berharap agar kedua-dua misi ini mencapai hasrat negara untuk menyampaikan maklumat yang tepat secara langsung kepada pihak berkepentingan dengan tujuan untuk menangkis persepsi negatif dan sebarang usaha untuk memberi tekanan terhadap sektor agrikomoditi dan perhutanan di Malaysia.

Sumber gambar:  Facebook YB Fadillah Yusof

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi