25 Mei 2023, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa tinjauan perniagaan Malaysia dilihat kekal positif dalam tempoh enam bulan akan datang dari April hingga September 2023 dengan imbangan bersih +14.9% daripada +12.1% yang dicatatkan sebelum ini.

Jabatan itu menyatakan bahawa sektor perkhidmatan menunjukkan sektor paling optimistik, mencatatkan imbangan bersih yang bertambah baik sebanyak +30.1% berbanding +28.0% bagi separuh pertama 2023, dengan semua subsektor perkhidmatan meramalkan keadaan perniagaan yang menggalakkan sepanjang enam bulan akan datang. Pada masa yang sama, sektor industri mencatatkan imbangan bersih yang lebih cerah dengan +15.6% dalam enam bulan akan datang berbanding +2.4% yang dicatatkan sebelum ini.

Sektor pembinaan menjangkakan situasi perniagaan yang kurang menggalakkan untuk enam bulan akan datang, berakhir September 2023 dengan imbangan bersih sebanyak -7.7% daripada +7.1% sebelumnya. Sentimen dalam sektor perdagangan borong dan runcit berubah pesimistik dengan imbangan bersih -4.7% berbanding +16.7% yang dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2023. Bagaimanapun, jabatan itu mengatakan bahawa sentimen perniagaan untuk jangka masa pendek bertukar pesimistik apabila petunjuk keyakinan menurun kepada -3.1% pada suku tahun kedua 2023 daripada +3.6% pada suku tahun sebelumnya.

DOSM dalam laporan statistik kecenderungan perniagaan terbaharunya hari ini menyatakan bahawa jangkaan ini adalah selari dengan kelembapan ekonomi global yang berterusan termasuk tekanan inflasi. DOSM menyatakan tiga sektor iaitu sektor pembinaan, perdagangan borong dan runcit serta industri menjangkakan keadaan perniagaan yang mencabar pada suku tahun kedua 2023. Keyakinan perniagaan bagi sektor pembinaan kekal di trajektori negatif dengan petunjuk keyakinan mencatatkan -26.9% pada suku tahun rujukan, manakala sektor perdagangan borong dan runcit serta industri berubah pesimistik pada suku tahun yang sama.

Responden dalam sektor perdagangan borong dan runcit menjangkakan prospek perniagaan yang kurang menggalakkan dengan petunjuk keyakinan sebanyak -10.2% pada suku tahun kedua 2023 berbanding +4.0% pada suku yang lepas, dengan kedua-dua subsektor mencatatkan persepsi yang tidak menggalakkan.

Sektor industri juga meramalkan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan pada suku tahun kedua 2023 apabila petunjuk keyakinan merekodkan -2.1% daripada +1.1% sebelumnya. DOSM juga menyatakan sektor perkhidmatan terus optimistik terhadap prestasi perniagaan dengan petunjuk keyakinan +3.9% pada suku tahun yang sama berbanding +11.4% pada suku tahun pertama 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.