Oleh Abd Razak Osman
17 Mei 2023, 11:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Jabatan Pertanian Negeri Kedah merasmikan Fiesta Harumanis D’Aman 2023 di Pasar Raya Amanjaya Sungai Petani, Kedah semalam.

Bersempena dengan Fiesta Harumanis D’Aman yang berlangsung selama tiga hari itu, Pengarah Drama, Filem, Teater, Pelakon dan Bekas Juara program realiti televisyen (TV) Anak Wayang, Mohd Hairi Safwan Aznan dilantik menjadi Duta Pertanian Harumanis D’Aman negeri Kedah.

Mohd. Hairi Safwan Aznan dilantik sebagai Duta Pertanian bersempena dengan kempen tanaman Mempelam Harumanis D’Aman.

“Saya bersyukur ke hadrat Illahi dengan perlantikan ini. Setelah menjadi Duta Pertanian, banyak perkara yang baik perlu dilakukan bagi memperluas lagi kempen tanaman Mempelam Harumanis D’Aman itu.”

“Bila projek tanaman itu dapat diperluas, penduduk di beberapa daerah di negeri Kedah sudah tentu akan memperoleh pendapatan lumayan,” katanya.

Di Kedah terdapat beberapa kawasan yang telah dikenal pasti dan cukup sesuai untuk ditanam Mempelam Harumanis, antaranya termasuklah di daerah Kubang Pasu, Sik, Baling, Bandar Baharu dan Padang Terap.

Pengarah Pertanian Negeri, Ramli Abdul Rahman berkata, Pelan Pembangunan Pertanian Negeri Kedah 2021-2025 yang dilancarkan diharapkan dapat berjalan dengan
lancar.

Sehingga bulan April 2023, keluasan penanaman Mempelam Harumanis di negeri Kedah adalah seluas 107.76 hektar dengan anggaran pengeluaran sebanyak 70.90 tan metrik. Bilangan petani yang mengusahakannya pula sekitar 131 orang. Bilangan peserta akan meningkat menjelang tahun 2025 nanti.

Anak pokok Mempelam Harumanis D’Aman.

“Jabatan Pertanian Negeri Kedah menyasarkan jumlah pengeluaran dapat ditingkatkan hingga 600 tan metrik tanaman itu di atas tanah seluas 200 hektar semusim menjelang 2025 nanti,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan,
Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri
Kedah, Datuk Azman Nasrudin pula ketika merasmikan Fiesta Harumanis D’Aman 2023 itu berkata,

“Saya berharap usahawan Harumanis Negeri Kedah dan agensi kerajaan yang berkaitan sentiasa berganding bahu bagi mempromosi Mempelam Harumanis D’Aman hingga pasarannya sampai ke negara Timur Tengah dan negara lain.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.