5 Mei 2023, 17:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Chuping – “Permintaan terhadap buah Harumanis kami bukan sahaja mendapat sambutan yang baik di negara kita, malah kini telah berjaya menembusi pasaran di Singapura.”

Demikian dipersembahmaklumkan kepada Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail oleh pemilik Ladang Harumango Chuping, Perlis, Datuk Rick Cheng Wooi Seong ketika baginda berkenan meluangkan masa melawat ladang tersebut semalam.

Taklimat tentang operasi ladang, pemasaran dan juga promosi Harumanis Perlis yang dijalankan oleh syarikat beliau telah disampaikan kepada baginda dan juga para tetamu yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan. Syarikat berkenaan mempunyai 1300 pohon pokok untuk rakyat Malaysia dan luar negara.

Menurut Datuk Rick, “Majoriti rakyat di Malaysia mengetahui akan populariti buah ikon negeri Perlis ini tetapi masih ramai belum pernah merasainya. Penggemar Harumanis Perlis pastinya mengetahui sebab buah ini lebih mahal jika dibandingkan dengan jenis mangga yang lain. Keunikan aroma dan kemanisan serta kepayahan untuk menjaganya menjadi faktor harga Harumanis Perlis agak mahal.”

Pemangku Raja Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail bersama-sama Datuk Rick Cheng Wooi Seong.

Tambah beliau, Ladang Harumango yang bertempat di Kampung Chuping Bawah Bukit ini dibuka kepada orang ramai setiap hari mulai jam 9 pagi sehingga 5 petang. Pengunjung berpeluang melawat ladang, merasai buah Harumanis Perlis, serta mempelajari tentang kaedah menjaga pokok Harumanis.

Datuk Rick kini dalam perancangan untuk menjadikan Ladang Harumango beliau sebagai pusat tarikan “agrotourisme” yang akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

Tuanku Pemangku Raja menzahirkan rasa gembira akan perkembangan positif sepertimana taklimat yang diberikan. Baginda juga berharap perniagaan pengusaha-pengusaha Harumanis Negeri Perlis akan terus maju bukan sahaja untuk memenuhi permintaan rakyat Malaysia bahkan ke luar negara dengan harga dari ladang yang memuaskan para pengusahanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.