Diterbitkan pada 31 Mac 2023, 10:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah memeterai Memorandom Persefahaman (MoU)  bersama dengan DHL Express Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi yang ideal bagi pelaburan asing (FDI) yang berkualiti tinggi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif penggalakan dan fasilitator pelaburan  MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata, tujuan perkongsian tersebut adalah untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan di rantau ini.

“Kerjasama yang dibuat dengan DHL Express penting kerana apabila MIDA menjalankan aktiviti penggalakan pelaburan di seluruh dunia, Malaysia harus diletakkan sebagai pusat pengeluaran global serta sebagai hab pengedaran serantau dan global,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian MoU tersebut.

Kerjasama ini merupakan penyedia perkhidmatan bertaraf dunia dan akan menambah nilai kepada MIDA sendiri dalam perundingan untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

MoU tersebut telah dimeterai antara Timbalan ketua pegawai eksekutif penggalakan dan fasilitator pelaburan  MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja dengan pengarah urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, iaitu Julian Neo dan disaksikan  oleh pengerusi MIDA, Tan Sri Sulaiman Mahbob.

Sivasuriyamoorthy menyatakan bahawa DHL Express akan menyediakan perkhidmatan menyeluruh termasuk pengangkutan fret udara dan laut, hab pusat data serta kemudahan canggih yang akan membantu MIDA menarik lebih banyak FDI ke Malaysia.

Tambah beliau lagi, pihak MIDA juga berharap agar dapat bekerjasama dengan pelanggan DHL Express dan meyakinkan mereka untuk datang dan beroperasi di Malaysia.

Kerjasama yang dimeterai ini juga akan membuka ruang yang lebih banyak peluang pelaburan seiring dengan 16 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dilaksanakan dan ini termasuklah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) baru-baru ini.

“RCEP dan CPTPP membuka pasaran baharu di negara seperti Mexico, Kanada, Peru dan Chile dan hal ini memberikan kelebihan langsung daripada kerjasama ini dengan adanya perkhidmatan DHL untuk pasaran eksport.”

Pengarah urusan DHL Express Malaysia dan Brunei,  Julian Neo menjelaskan MoU tersebut merupakan garis komitmen bersama untuk menguatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi FDI serta mengukuhkan sumbangan industri logistik.

“Sebagai penyelia perkhidmatan ekspres antarabangsa utama dunia, DHL akan membantu memudahkan menjalankan perniagaan dan menyediakan akses lebih besar kepada syarikat untuk pasaran Asia Tenggara dan Asia Pasifik yang menguntungkan.”

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi