1 Mac 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif dengan mencatat kenaikan 2.2% tahun ke tahun pada Januari 2023 daripada 109.1 mata bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa dari segi perbandingan bulanan, terma perdagangan Malaysia bagaimanapun kembali menunjukkan prestasi negatif dengan penurunan 0.1% kepada 111.5 mata pada Januari 2023 berbanding  Disember 2022 berikutan penyusutan indeks makanan (0.14%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.6%), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (-0.08%). Beliau menambah, indeks nilai seunit eksport dan import menunjukkan momentum penurunan pada Januari 2023 dengan eksport susut 1.3% kepada 142.7 berbanding Disember 2022 manakala import turun 1.1% kepada 128.0 mata.

Penurunan nilai seunit eksport disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-5.8%), bahan kimia (-0.3%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.2%). Indeks volum eksport pelarasan bermusim turun 6.9% daripada 161.1 mata kepada 150.1 mata. Berdasarkan perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport berkembang 7.6% manakala indeks volum menyusut 5.6%. Bagi import, beliau menyatakan bahawa indeks nilai seunit import turun 1.1% pada Januari 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-6.8%), bahan kimia (-0.4%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.3%).

Indeks volum import turut merosot 7.4% pada Januari 2023 berbanding dengan bulan sebelumnya yang disumbangkan oleh penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-16.8%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-7.5%) dan minyak galian (6.3%). Selain itu, indeks volum import pelarasan bermusim mengalami kemerosotan 5.4% kepada 165.9 mata daripada 175.4 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import berkembang 5.3% manakala indeks volum menyusut 2.6%.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.