1 Mac 2023, 08:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun ini, berikutan pemulihan yang kukuh pada tahun 2022 meskipun ekonomi dunia masih bergelut untuk mengekalkan pertumbuhan dan trajektorinya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa perdagangan barangan Malaysia diramalkan terus berkembang pada tahun 2023 walaupun pada kadar yang lebih perlahan. Berdasarkan tinjauan ekonomi Kementerian Kewangan 2023, jumlah perdagangan, eksport dan import diunjurkan masing-masing meningkat 1.3%, 2.2% dan 0.2%. Unjuran iniĀ  sejajar dengan anggaran Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang menjangkakan perdagangan global berkembang perlahan, iaitu 1.0% pada tahun 2023.

Berikutan permintaan luaran yang lebih perlahan dan pengurangan kesan asas rendah, sektor pembuatan juga dijangka memasuki fasa sederhana pada tahun 2023. Ketidaktentuan global yang berterusan juga dijangka mempengaruhi aktiviti ekonomi dan sosial serta pasaran buruh. Tambah beliau lagi, Indeks Pelopor (IP) Malaysia menyusut 0.6%, bersamaan 0.7 mata kepada 110.7 mata pada Disember 2022 berbanding 111.4 mata pada Disember 2021.

Berdasarkan kepada senario ekonomi global, Jabatan Perangkaan melaporkan inflasi yang berterusan di seluruh dunia telah menghakis kuasa beli dan pengguna mengambil sikap berhati-hati terhadap perbelanjaan, seterusnya memberi kesan kepada prestasi ekonomi. Berdasarkan Tinjauan Ekonomi Dunia terkini yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada bulan Januari 2023, ekonomi dunia diunjurkan menyederhana kepada 2.9% pada tahun 2023 dan bertambah baik kepada 3.1% pada tahun 2024.

Sementara itu, kebanyakan ekonomi menunjukkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan pada suku keempat tahun 2022 berbanding dengan suku ketiga tahun 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.