24 Februari 2023, 22:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pihak kerajaan menyediakan dana sebanyak RM1.7 bilion untuk golongan usahawan mikro dan penjaja kecil bagi kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kemudahan tersebut termasuklah peruntukan RM300 juta yang dikhaskan bagi menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia. BSN telah menyediakan lebih RM1 bilion dengan memberikan tumpuan kepada PKS mikro dan penjaja. TEKUN juga menyediakan RM330 juta termasuk RM10 juta bagi membantu belia daripada keluarga susah yang meraih pendapatan melalui perniagaan. Tambah beliau, mereka diberikan modal bagi memulakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Selain itu, pihak kerajaan juga bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2, lesen teksi, bas dan e-panggilan. Pihak BNM menyediakan dana pinjaman hampir RM10 bilion bagi meringankan beban kewangan PKS dan menyokong pengembangan perniagaan mereka. Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga RM20 bilion pinjaman PKS dengan sektor tumpuan termasuklah teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan yang diberikan jaminan kerajaan sehingga 90%.

Tambah beliau lagi, jaminan juga diperluaskan kepada pembiayaan oleh institusi kewangan bukan perbankan seperti syarikat pajakan kredit dan koperasi supaya dapat memberikan manfaat khusus kepada penjaja kecil.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.