24 Februari 2023, 19:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) telah memeterai memorandum persefahaman dengan MIMOS Bhd. bagi meneroka projek stretegik kerajaan. Memorandum tersebut memberikan peluang untuk memanfaatkan projek dan inisiatif stretegik kerajaan bagi membangunkan keupayaan teknologi digital, pembangunan perisian, rangkaian, penyepaduan sistem, perkhidmatan perundingan, pengkomputeran awan dan revolusi perindustrian (IR) 4.0.

Kedua-dua entiti ini akan bekerjasama untuk menjalankan aktiviti pembangunan bersama, ujian lapangan, pemindahan teknologi dan pengkomersialan produk teknologi serta pertukaran kakitangan dalam tempoh tertentu bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan. Selain itu, aktiviti pembelajaran turut dilaksanakan seperti pengajaran, perkongsian pengetahuan, latihan, amali, penempatan atau lawatan sambil belajar.

Pengerusi Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir menyatakan bahawa kerjasama tersebut akan membuka jalan kepada kedua-dua buah syarikat untuk mengambil bahagian dalam projek mega teknologi maklumat, memanfaatkan pengetahuan teknologi bagi menyediakan penyelesaian komprehensif pelbagai projek teknologi maklumat termasuklah meningkatkan dan memajukan operasi dan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Beliau turut menyatakan hasrat kedua-dua buah syarikat itu untuk menjadi batu loncatan bagi mempercepatkan transformasi digital dengan memanfaatkan tawaran dan teknologi mereka secara meluas.

Pengerusi MIMOS, Datuk Seri Ibrahim Ahmad mengulas tentang peranan MIMOS sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan negara bagi menerajui inovasi teknologi dalam meningkatkan daya saing negara, memacu transformasi industri dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.