19 Februari 2023, 10:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jika ada individu atau syarikat yang mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan, mereka tidak dapat bercuti ke luar negara. Hal ini dimaklumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memandangkan ibu bapa akan mula merancang percutian keluarga pada cuti persekolahan yang bermula pada 16 Februari 2023.

Pihak HASiL menyarankan agar semua pembayar cukai menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum membuat perancangan untuk ke luar negara.

Mengikut Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 (ACKHT 1976), HASiL diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan Malaysia jika mereka atau syarikat mereka tidak melunaskan tunggakan cukai kepada kerajaan.

Pemakluman tindakan tersebut akan diposkan ke alamat terakhir yang dikemas kini oleh pembayar cukai kepada HASiL melalui data percukaian terkini yang direkodkan.

Sehubungan dengan itu, pembayar cukai boleh membuat semakan status tunggakan cukai mereka melalui portal MyTax, manakala semakan sekatan perjalanan boleh dibuat di laman web rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.

Sekiranya pembayar cukai mempunyai tunggakan dan dikenakan sekatan perjalanan, mereka boleh membuat pembayaran atau menghubungi pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai mereka untuk tujuan rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara.

Bagi tujuan pembayaran tunggakan cukai pendapatan, bayaran cukai boleh dibuat melalui portal MyTax melalui Perkhidmatan ByrHASiL, mana-mana portal perbankan internet bank komersial yang dilantik oleh HASiL, mana-mana mesin deposit tunai bank lantikan HASiL, atau mana-mana kaunter bank lantikan HASiL.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh terus menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 (dalam negara)/603-8911 1100 (luar negara) atau di Borang Maklum Balas HASiL.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.