25 Januari 2023, 10:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Selepas kenaikan 25 mata asas sebanyak empat kali berturut-turut, Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC)  membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 2.75 peratus.

Jika OPR tersebut terus kekal, hal ini akan menyebabkan kadar inflasi dalam negara mereda pada bulan yang akan datang. Selain itu, tekanan inflasi dalam negara dilihat berupaya mereda dan memberikan petunjuk yang baik untuk kembali ke paras normal sebelum ini, iaitu sekitar lebih dua peratus.

Menteri Ekonomi, Yang Berhomat Rafizi Ramli  menjelaskan bahawa jika kadar inflasi terus meningkat, BNM akan terus menaikkan OPR agar dapat mengehadkan permintaan. Menurut beliau lagi, semua pihak termasuk pelanggan berperanan untuk menentukan kadar inflasi. Keputusan BNM mengekalkan OPR, akan  meredakan inflasi pada bulan Januari dan Februari.

“Selepas melihat kadar tersebut memuncak pada Ogos dan September tahun lalu, trend tersebut seterusnya akan mereda dan menurun. Terdapat petunjuk yang menunjukkan bahawa inflasi akan mula mendatar,” katanya.

“Kadar inflasi pada tahun lalu menunjukkan sebanyak 3.3 peratus dan kadar tersebut lebih tinggi dua peratus daripada tahun sebelumnya.”

Jelasnya lagi, jika inflasi mencecah hingga 2.8 peratus pada April tahun ini, hal tersebut akan menunjukkan harga barangan pada kadar yang baik untuk ekonomi. Namun begitu, beliau juga menegaskan agar harga yang dikenakan kepada pengguna perlulah seiring dengan  penurunan harga bahan mentah.

Kerajaan juga sedang merangka strategi baharu untuk menyelesaikan isu kos sara hidup dan akan diumumkan dalam waktu terdekat. Perangkaan strategi baharu tersebut melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.