8 Januari 2023, 20:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pejam celik, pejam celik berakhirlah sudah tahun 2022. Hal ini bermakna tidak lama lagi akan bermulanya bulan Mac 2023 dan pembayar cukai individu akan mula menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengisi Borang Nyata (BN) Cukai bagi Tahun Taksiran 2022. Dalam kesibukan mengisi BN, pastinya ada kemungkinan akan berlakunya pelepasan cukai yang lupa untuk dituntut kerana resit dan dokumen berkaitan dengan pelepasan cukai tersebut hilang atau sudah lusuh akibat gagal disimpan dengan rapi.

Selain daripada tanggungjawab menyimpan semua dokumen percukaian yang sememangnya termaktub dalam undang-undang, tindakan tersebut memberikan banyak kelebihan jika segala dokumen disimpan dengan rapi dan pastinya memanfaatkan pembayar cukai itu sendiri.

Menerusi artikel ini, kami kongsikan manfaat bagi pembayar cukai yang akan peroleh sekiranya mereka mengamalkan tabiat menyimpan semua dokumen percukaian dengan baik dan selamat.

  1. Mematuhi Undang-undang Cukai

Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menyatakan dengan jelas bahawa setiap dokumen percukaian hendaklah disimpan dengan selamat sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh tahun. Ketetapan ini diperuntukkan di bawah seksyen 82 dan 82A  ACP 1967. Kegagalan untuk mematuhi peruntukan dalam akta ini menjadi satu kesalahan yang boleh dikenakan denda atau penjara untuk suatu tempoh tertentu.

Sudah pastinya pihak kami tidak mahu pembayar cukai mengalami semua masalah ini, justeru patuhilah nasihat kami dan simpanlah semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat.

  1. Memudahkan Urusan Pengiraan Cukai

Sebelum pembayar cukai mengisi BN, kami percaya bahawa mereka akan membuat pengiraan cukai yang perlu dibayar terlebih dahulu untuk memastikan semua perbelanjaan dan pelepasan cukai telah diambil kira sebelum dikunci masuk dalam borang cukai elektronik atau e-Filing.

Berdasarkan pengalaman pihak HASiL, kesilapan sering berlaku apabila pembayar cukai tidak bersedia dengan pengiraan cukai, resit dan dokumen percukaian sehingga menyebabkan mereka terlupa mengambil kira perbelanjaan dan pelepasan yang layak dituntut semasa mengisi e-Filing.

Akibatnya, amaun cukai yang dikenakan sebagai bayaran kepada HASiL adalah lebih tinggi disebabkan jumlah perbelanjaan dan pelepasan cukai yang dilengkapkan dalam e-Filing adalah rendah daripada yang sepatutnya. Keadaan ini pasti merugikan pembayar cukai kerana mereka telah membayar amaun cukai yang lebih daripada yang sepatutnya kepada kerajaan.

  1. Memudahkah Urusan Semakan Semula oleh HASiL

Penyimpanan rekod yang kemas, teratur dan selamat akan membantu pembayar cukai mengemukakan bukti perbelanjaan dan pelepasan cukai tersebut apabila diperlukan oleh HASiL.

Dalam Sistem Taksir Sendiri, HASiL akan menerima setiap pelaporan cukai daripada pembayar cukai secara suci hati. Hal ini bermakna bahawa pihak HASiL tidak meragui setiap pelaporan cukai yang dibuat oleh pembayar cukai sehinggalah didapati ada keraguan yang munasabah pada pelaporan tersebut.

Jika hal tersebut berlaku, maka pegawai HASiL akan menghubungi pembayar cukai dan memohon pembayar cukai untuk mengemukakan bukti perbelanjaan atau pelepasan cukai yang dituntut dalam BN mereka.

Tujuan proses ini dilakukan adalah untuk menyemak semula dan mengesahkan kesahihan tuntutan tersebut. Dalam hal ini, pembayar cukai tidak perlu bimbang kerana selagi semua resit dan dokumen percukaian berjaya dikemukakan dan perbelanjaan serta pelepasan cukai yang dituntut dapat dibuktikan kesahihannya, maka HASiL akan menerimanya tanpa mengenakan taksiran tambahan mahupun penalti.

Oleh sebab itulah pentingnya semua dokumen percukaian ini disimpan dengan rapi dan teratur.

  1. Membantu Pembayar Cukai membuat Semakan Semula dan Memohon Pengurangan Cukai.

Manfaat ini yang paling menyeronokkan dan sering tidak disedari oleh pembayar cukai. Tujuan dokumen percukaian disimpan sebenarnya bukan untuk membantu urusan HASiL semata-mata, malah hal tersebut memberikan peluang kepada pembayar cukai untuk meneliti semula pelaporan cukai yang telah dilakukan sebelum ini.

Jika pembayar cukai mendapati bahawa mereka telah tersalah melaporkan amaun perbelanjaan atau pelepasan yang menyebabkan kerugian kerana terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi, mereka sentiasa dialu-alukan untuk menghubungi HASiL bagi urusan semakan semula sekali gus membolehkan mereka menikmati pengurangan cukai.

Oleh hal yang demikian, mulai hari ini, pembayar cukai dinasihatkan untuk mengamalkan tabiat menyimpan semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat. Perkara ini banyak memberikan manfaat kepada pembayar cukai. Kaedah penyimpannya juga tidaklah rumit kerana dokumen tersebut boleh disimpan dalam bentuk salinan cetak ataupun salinan lembut.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan dengan perkara ini boleh dikemukakan kepada HASiL melalui:

  1. Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan
  3. Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

 

Dikeluarkan oleh:

Bahagian Pendidikan Cukai, Jabatan Khidmat Korporat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.