21 Disember 2022, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isu keterjaminan kewangan seharusnya diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan, terutamanya dalam keadaan negara yang kini berstatus negara menua. Keterjaminan kewangan merujuk kecukupan wang bagi menampung perbelanjaan harian dengan selesa serta bebas daripada masalah kewangan. Antara lain, keterjaminan kewangan membawa maksud kemampuan individu untuk mengawal situasi kewangan tanpa tekanan.

Kebanyakan kita pastinya terfikir untuk bersandar pada bantuan dan jagaan anak-anak dalam meniti usia emas. Benar, memang budaya Asia, lazimnya menitikberatkan ikatan dan tanggungjawab anak-anak kepada ibu bapa. Walau bagaimanapun, hal ini seharusnya tidak dijadikan sebab kita harus mengabaikan perancangan awal sejak muda agar dapat mentadbir urus kewangan sendiri pada usia tua nanti.

Golongan yang mempunyai simpanan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu diingatkan agar bijak menangani pengurusan kewangan apabila bersara. Acap kali ditemukan, banyak orang yang gagal menguruskan kewangan dengan baik. Wang simpanan yang boleh dikeluarkan sekali gus pada umur persaraan 60 tahun itu dirasakan sangat besar, menyebabkan banyak perbelanjaan yang tidak perlu akhirnya dibuat tanpa menyedari impaknya terhadap kelangsungan hidup untuk 20 tahun yang akan datang. Tanpa disiplin yang tinggi, wang simpanan persaraan tersebut akan lupus dalam masa yang singkat dan mengakibatkan ketidakcukupan wang apabila bersara.

Kita kerap kali melihat wang simpanan persaraan digunakan untuk pengubahsuaian rumah secara berlebihan, pembelian kereta baharu sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk penggunaan anak-anak, dan banyak lagi big ticket items yang lebih merupakan kehendak dan vukannya keperluan. Kita bukannya menidakkan fakta bahawa diri sendiri perlu diberi ganjaran setelah bertahun-tahun penat bekerja. Walau bagaimanapun, setiap keputusan perbelanjaan itu harus dinilai mengikut kemampuan. Seperti pepatah, “Ukur baju di badan sendiri”. Tambahan pula, beberapa siri pengeluaran KWSP yang dibenarkan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 juga mencatatkan pengurangan dana simpanan para pencarum secara signifikan.

Risiko perbelanjaan wang simpanan persaraan secara kurang berhemat perlu diberi perhatian serta dicari jalan penyelesaiannya. Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah dengan mewujudkan pelan insurans sosial untuk warga Malaysia yang pesara akan mendapat anuiti secara bulanan. Hal ini dilihat dapat menjamin kesejahteraan masyarakat dengan adanya keterjaminan kewangan selepas persaraan.

Cadangan skim anuiti ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Skim anuiti dilancarkan oleh KWSP pada tahun 2000. Namun, kemudiannya skim tersebut digantung ekoran bantahan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Hingga kini, skim tersebut tidak diteruskan. Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira konteks keterjaminan kewangan masyarakat pada hari ini, adalah wajar bagi kerajaan serta pihak berkuasa untuk mempertimbangkan semula skim anuiti menerusi pelan insurans sosial agar dapat dilaksanakan di Malaysia.

Kerajaan perlu membuat penelitian yang lebih halus bagi menyediakan kerangka operasi pelan tersebut. Tanggungjawab tersebut tidak semestinya digalas oleh KWSP seperti mana rancangan asal lebih dua dekad yang lalu. Malah, PERKESO juga dilihat berpotensi untuk menggalas tanggungjawab tersebut atas dasar konsep servis yang sama, iaitu perlindungan insurans sosial kepada pekerja.

Masyarakat harus lebih terbuka dan positif dengan inisiatif pelan insurans sosial ini demi kemaslahatan semua. Tambahan pula, dengan perubahan sosial dan demografi negara, golongan ibu bapa tidak boleh lagi hanya mengharapkan anak-anak untuk menjaga keperluan kewangan mereka pada masa tua. Jika ada bantuan daripada anak-anak, anggaplah hal ini bonus!

Perancangan kendiri mungkin hanya berkesan kepada segelintir masyarakat yang mahir dalam mencatur aktiviti pelaburan mereka. Namun, masyarakat secara amnya masih memerlukan sokongan institusi bagi menjayakan misi ini. Dalam hal ini, kerajaan baharu Malaysia diharapkan dapat memberi perhatian yang serius terhadap isu ini. Di samping itu, kerajaan Malaysia  harus mempertimbangkan cadangan pelaksanaan pelan insurans sosial di negara ini demi keterjaminan kewangan masyarakat pada masa depan.

Dr. Nurul Afidah Mohamad Yusof ialah Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Kewangan,Universiti Tunku Abdul Rahman.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.