19 Disember 2022, 23:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan bahawa perdagangan Malaysia terus mencatat prestasi yang memberangsangkan dan mengekalkan trajektori peningkatan pada November 2022 dengan merekodkan perkembangan sebanyak  15.6% kepada RM238.17 bilion berbanding November 2021. Pertumbuhan itu merupakan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun bagi 22 bulan berturut-turut.

MITI menambah bahawa nilai eksport telah meningkat sebanyak 15.6% kepada RM130.24 bilion manakala import dan lebihan dagangan juga meningkat sebanyak 15.6% masing-masing kepada RM107.93 bilion dan RM22.3 bilion. Selain itu, eksport ke rakan dagang utama khususnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun juga merekodkan pertumbuhan dua digit. Lebihan dagangan telah meningkat sebanyak 23.5% manakala perdagangan, eksport dan import masing-masing berkurangan sebanyak 2.8%, 1% dan 4.9% berbanding Oktober 2022.

MITI juga memaklumkan bahawa tempoh Januari hingga November 2022 telah menyaksikan perdagangan berkembang sebanyak 29.9% kepada RM2.613 trilion berbanding tempoh sama tahun lepas. Nilai eksport turut meningkat 27.2% kepada RM1.42 trilion dan nilai import naik 33.3% kepada RM1.193 trilion manakala lebihan dagangan pula menokok 2.6% kepada RM227.89 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan juga telah mencatat nilai tertinggi bagi tempoh ini.

Eksport barangan perkilangan yang merangkumi 84.6% daripada jumlah eksport pula berkembang sebanyak 15% tahun ke tahun kepada RM110.23 bilion iaitu pertumbuhan dua angka bagi bulan ke-16 berturut-turut. Selain itu, eksport hasil galian juga telah melonjak 62.6% tahun ke tahun kepada RM10.43 bilion yang disumbangkan oleh kenaikan eksport LNG dan petroleum mentah. Eksport keluaran pertanian pula susut sebanyak 11.1% kepada RM8.87 bilion berbanding November 2021 berikutan penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
MITI telah menyatakan bahawa hampir kesemua barangan telah merekodkan peningkatan eksport dalam tempoh Januari hingga November 2022. Pada November 2022, perdagangan dengan ASEAN telah menyumbang sebanyak 26.6% dalam jumlah perdagangan Malaysia yang telah meningkat sebanyak 11.6% tahun ke tahun kepada RM63.46 bilion. Selain itu, perdagangan dengan China telah mencatatkan RM43.18 bilion dengan merekodkan peningkatan sebanyak 13.5% manakala eksport pula telah merekodkan peningkatan sebanyak 9.2% kepada RM18.85 bilion dan import juga telah menokok sebanyak 17.1% kepada RM24.33 bilion.
MITI juga menambah bahawa perdagangan dengan AS pula meningkat sebanyak 15.6% tahun ke tahun kepada RM22.82 bilion manakala import dari negara maju tersebut menokok sebanyak 23% kepada RM8.23 bilion. Selain itu, import dari EU pula berkembang sebanyak 6.9% kepada RM8.17 bilion.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.