Diterbitkan pada 22 Jun 2026, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Melaka melabuhkan tirai dengan jayanya apabila berjaya menarik kehadiran lebih daripada 60 000 pengunjung sepanjang penganjurannya selama tiga hari bermula 19 Jun hingga 21 Jun 2026.

Jumlah pengunjung tersebut mencerminkan sambutan memberangsangkan terhadap usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.

Penganjuran karnival tersebut bertujuan memperkukuh pembangunan usahawan tempatan menerusi pelbagai pengisian, termasuk sesi padanan perniagaan bersama-sama syarikat utama, perkongsian ilmu keusahawanan, pameran dan jualan produk usahawan, serta penyediaan khidmat nasihat oleh pelbagai agensi kerajaan.

Majlis Perasmian Penutupan HPM Edisi Melaka disempurnakan oleh EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, YB Datuk Rais Datuk Wira Yasin yang mewakili Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

YB Datuk Rais Datuk Wira Yasin yang mewakili Ketua Menteri Melaka berucap merasmikan Majlis Perasmian Penutupan HPM Edisi Melaka.

Dalam majlis tersebut, turut berlangsung pelancaran Portal TEKUN Nasional, iaitu sebuah platform digital sehenti yang dibangunkan bagi memudahkan usahawan mendapatkan maklumat pembiayaan, mengemukakan permohonan secara dalam talian, menyemak status permohonan, mengakses program dan latihan keusahawanan, serta memperoleh maklumat berkaitan dengan pejabat TEKUN di seluruh negara.

Pelancaran Portal TEKUN Nasional.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen kementerian dalam merealisasikan strategi ABCD Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), khususnya teras Birokrasi Dipermudahkan bagi memastikan usahawan mendapat akses kepada pembiayaan dan perkhidmatan kerajaan secara lebih pantas, mudah dan mesra pengguna.

YB Steven Sim Chee Keong berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan HPM Edisi Melaka.

Transformasi digital yang dilaksanakan melalui Portal TEKUN Nasional diyakini mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada usahawan dan memperluas akses kepada pelbagai inisiatif pembangunan perniagaan yang disediakan kerajaan.

Pada majlis yang sama, sebanyak 16 usahawan menerima cek cura pembiayaan dengan jumlah keseluruhan melebihi RM4 juta yang melibatkan pelbagai sektor perniagaan, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan kerajaan dalam membantu pertumbuhan dan pengembangan perusahaan tempatan.

Hingga 31 Mei 2026, KUSKOP telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM92 juta kepada lebih daripada 4300 usahawan di Melaka. Pada peringkat nasional pula, sebanyak RM5 bilion pembiayaan telah diluluskan yang memberikan manfaat kepada lebih daripada 180 000 perusahaan di seluruh negara.

KUSKOP komited untuk terus memperkukuh ekosistem keusahawanan negara melalui pelaksanaan inisiatif PowerUp10K yang lebih inklusif, responsif dan berdaya saing bagi merancakkan pertumbuhan PMKS dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Mohamad Alamin; EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, YB Allex Seah Shoo Chin; Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, serta barisan pengurusan kanan kementerian dan agensi berkaitan dengannya.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi