9 Disember 2022, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Pesta Buku Antarabangsa Selangor mendapat sambutan yang menggalakkan daripada segenap lapisan masyarakat. Pesta buku ini disertai oleh pelbagai pempamer yang terdiri daripada penerbit buku dan penulis buku dari dalam dan luar negara, penerbit mandiri,  agensi kerajaan, anak syarikat negeri, sekolah tadika, Early Intervention Program dan lain-lain pempamer. Pesta Buku Antarabangsa Selangor kali ini menghimpunkan lebih 200 pempamer dan lebih 300 reruai.

Pesta buku ini telah dilihat menjadi salah satu titik untuk memulihkan semula industri perbukuan negara yang terkesan dengan pandemik COVID-19. Pesta buku itu dianjurkan oleh  kerajaan negeri Selangor manakala Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor bertindak selaku urusetia program. Urusetia Pesta Buku Antarabangsa Selangor, Puan Norelmin Sapuan menyatakan bahawa Pesta Buku Antarabangsa Selangor telah merekodkan seramai 150 ribu pengunjung.

Tambah beliau, pesta buku kali ini juga disertai oleh penerbit dari China, Singapura dan Indonesia. Selain itu, felo dari negara North Macedonia, Mesir, United Kingdom, Korea Selatan, Turkiye dan Indonesia menawarkan peluang kepada penerbit tempatan untuk bekerjasama dengan mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa. Beliau menambah sambutan pada tahun ini lebih baik dari tahun lepas. Selain itu, pesta buku itu juga menyediakan kemudahan kawasan dan program khusus kepada ibu bapa dan kanak-kanak dan disusun dengan pelbagai pengisian yang bermanfaat.

Pempamer juga meluahkan perasaan yang gembira tentang hasil jualan yang memberangsangkan. Salah seorang pengunjung, Muhammad Irfan Jalil yang juga merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), meluahkan keterujaannya kerana dapat membeli bahan bacaan yang berkualiti. Tambahnya lagi, penganjuran pesta buku seperti ini perlu kerap diadakan untuk memudahkan masyarakat bagi membeli bahan bacaan.

Selain itu, pengajuran pesta buku seperti ini juga boleh minat membaca dalam kalangan masyarakat. Pesta Buku Antarabangsa Selangor bermula dari 1 Disember sehingga 11 Disember 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.