Oleh Ritah Yahaya
25 Julai 2022, 08:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2021 memberikan pengiktirafan kepada perusahaan yang “Cemerlang, Tulen dan Boleh Dipercayai” dan dijulang sebagai perusahaan “Di Mercu Keunggulan” mengikut kategori dalam bidang masing-masing. Melalui usaha dan pengiktirafan ini, LICTA akan menjadi sumber rujukan yang dipercayai dalam kalangan rakan perniagaan, pelabur, bank, dan sebagainya.

Demikian ucap YB Dato’ Haji Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Penasihat LICTA 2021 dalam majlis penganugerahan LICTA 2021 yang berlangsung malam tadi di Grand Ballroom, Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur.

“Saya  mengucapkan tahniah kepada  YBhg. Dato’ Lee Chee Weng, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan LICTA atas usaha beliau untuk menjayakan LICTA 2021. LICTA 2021 yang memasuki tahun keempat penganjurannya akan menjadi sumber rujukan yang dipercayai dalam kalangan rakan perniagaan, pelabur, pihak bank, dan sebagainya.”

“Saya juga mengucapkan syabas kepada para peserta dan pemenang LICTA 2021. LICTA merupakan platform yang mengupayakan sumber yang terdiri daripada mereka yang berpengetahuan tinggi, bermaklumat dan mempunyai hubungan rangkaian korporat dan kerajaan yang jelas dalam usaha membangunkan ekosistem keusahawanan yang lestari.”

Dato’ Haji Mohd. Rashid turut menyentuh Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) yang merupakan strategi jangka panjang negara dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan (entrepreneurial nation) yang unggul menjelang tahun 2030. Dasar ini akan bertindak sebagai pemangkin pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu, makmur, bermaruah dan terus membangun secara mapan dengan pengagihan ekonomi yang lebih adil dan inklusif, seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia.

Menurut beliau, penganjuran LICTA merupakan inisiatif yang memberikan impak yang besar dan dilihat sangat relevan dalam menjayakan lima objektif utama DKN. Antara objektif utama DKN termasuklah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi Malaysia yang inklusif, seimbang serta mapan, dan meningkatkan bilangan usahawan negara yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan, berfikiran global, dan kompetitif.

Dato’ Haji Mohd. Rashid juga mengucapkan tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang turut membantu membuat liputan majlis anugerah yang berprestij itu yang disiarkan melalui pelantar digital, JendelaDBP di laman majalah Dewan Ekonomi yang boleh dilayari di jendeladbp.my.

JendelaDBP merupakan pusat sehenti digital bagi menyebarluaskan maklumat berkaitan dengan bahasa, sastera, penerbitan, ekonomi, sains, teknologi, dan bidang lain dalam usaha memartabatkan penerbitan berbahasa Melayu.

Beliau berharap agar pihak media turut membantu menonjolkan syarikat atau perusahaan yang dijulang sebagai “di mercu keunggulan” dalam bidang masing-masing menerusi penyiaran berita dan ruang-ruang lain sebagai suntikan motivasi, khususnya kepada para usahawan dan penggerak perusahaan tempatan agar sentiasa berdaya saing dan berusaha mencipta kejayaan cemerlang.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.