13 Jun 2022, 12:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) 2022 (13–12 Jun 2022) yang dikendalikan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) berjaya melibatkan 167 buah syarikat perbukuan yang menyaksikan sebanyak 709 buah reruai menghidangkan pelbagai bahan buku untuk memeriahkan “pesta hari raya buku” yang dianggap penganjuran pesta buku terbaik sejak 39 kali diadakan. PABKL 2022 dilihat sebagai permulaan memulihkan kembali industri perbukuan negara sepenuhnya yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

PABKL 2022 yang berlangsung selama 10 hari itu ditutup semalam disempurnakan oleh Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Dalam ucapan beliau, Tan Sri Noh memberikan suntikan keyakinan kepada seluruh penggiat dan pemain industri perbukuan negara.

Beliau turut berkongsi pengalaman beliau terlibat dalam arena perbukuan yang bermula sebagai seorang pendidik. Beliau turut menimba pengalaman sebagai penterjemah di bawah seliaan Puan Ainon Mohd yang ketika itu merupakan pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka, dan kini merupakan Pengerusi Kumpulan PTS.

Beliau sendiri tidak menjangkakan bahawa pesta buku yang dianjurkan kali ini mendapat sambutan luar biasa lantaran budaya baharu yang melanda generasi Keluarga Malaysia, iaitu membaca secara digital, e-buku dan melalui alat peranti, khususnya telefon pintar yang dianggap lebih mudah, ringkas dan hanya di hujung jari.

Ternyata sangkaan tersebut meleset dan budaya membaca secara fizikal masih menjadi amalan dan budaya kekal yang diamalkan oleh seluruh Keluarga Malaysia. Berdasarkan statistik yang diumumkan oleh penganjur, jelas pada pandangan beliau bahawa KUSKOP tidak akan membiarkan penggiat dan pemain industri perbukuan Malaysia dibiarkan begitu sahaja, mandiri dengan semangat dan ketekalan yang tidak berbelah bahagi bagi kelangsungan mereka dalam kancah industri ini.

Menurut beliau, KUSKOP akan terus memastikan bangsa usahawan berjaya akan dapat dilahirkan daripada sokongan, bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kementerian yang diterajuinya. Menerusi 11 buah agensi di bawah KUSKOP, beliau juga menjelaskan bahawa syarikat penerbitan, percetakan perlu mengambil tindakan dengan bijak menghubungi agensi-agensi ini agar dapat diberi perundingan dan bantuan sama ada pinjaman mahupun geran. Usaha ini dapat memastikan bahawa kelangsungan usahawan dalam industri ini dilakukan bijak dan tepat.

Tan Sri Noh mengumumkan pinjaman hingga RM100 000.00 disediakan oleh agensi TEKUN hingga yang boleh dimohon oleh pemain industri ini. Sekiranya layak, pemohon berkaitan perbukuan boleh mendapat dana hingga RM10 juta. Maklumat lanjut berkaitan dengan hal ini boleh dirujuk kepada Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Selain itu, terdapat juga institusi kewangan di bawah seliaan KUSKOP yang menawarkan pinjaman hingga lebih daripada RM10 juta bagi mendukung industri ini, iaitu Bank SME dan Bank Rakyat. Sama ada bantuan dalam bentuk geran atau pinjaman, beliau menegaskan lagi, pemain industri perbukuan mesti merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan ini agar industri perbukuan negara terus hidup dan buku-buku terbaik akan terus diterbitkan dan kelak akan berjaya membina bangsa.

Selain geran dan pinjaman berkaitan dengan industri perbukuan, Tan Sri Noh juga mengumumkan bahawa kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM100 juta kepada mana-mana usahawan perbukuan yang terkesan akibat bencana banjir yang berlaku tahun lalu. Pinjaman tanpa faedah sebanyak RM100 ribu disediakan kepada pemilik kedai buku, syarikat penerbitan, syarikat percetakan, pengedar, dan lain-lain. Selain itu, penggiat atau usahawan kecil perbukuan yang terjejas juga layak memohon geran sebanyak RM3000.00 untuk memulihkan perniagaan yang terjejas akibat banjir.

Sebelum itu, Encik Khair Ngadiron, Urus Setia Tetap MBKM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022 mendedikasikan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran pesta buku yang dianggap paling berjaya kali ini selepas pelbagai cabaran dilalui sepanjang tempoh dua tahun ini.

Sebanyak 1 363 757 orang pengunjung direkodkan selama 10 hari PABKL 2022 berbanding dengan hanya 670 000 orang pengunjung pada tahun 2019. Jumlah ini melebihi sasaran penganjur yang menjangka hanya mencapai 900 000 ribu orang. Manakala sejumlah 13.6 juta tontonan tanda pagar PBAKL di media sosial membuktikan kesetiaan Keluarga Malaysia kepada penganjuran pesta buku ini.

Daripada data ini juga membuktikan bahawa Keluarga Malaysia sememangnya amat menyokong usaha membijaksanakan bangsa, khususnya daripada amalan budaya membaca dan mencintai buku. Beliau berharap agar usaha mengekalkan budaya membaca serta cintakan buku ini akan dapat direalisasikan oleh seluruh Keluarga Malaysia tanpa mengira masa.

Majlis penyampaian hadiah reruai terbaik daripada enam kategori yang dipertandingkan oleh penganjur turut disampaikan oleh Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar. Turut menyerikan acara ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Datin Paduka Mastura Haji Mohamad, wakil Negeri Tamu Selangor Darul Ehsan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.