12 Mei 2022, 08:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 3.9% dari tahun ke tahun pada suku pertama tahun 2022.  Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang meningkat 8.8%, diikuti perdagangan runcit dan borong masing-masing meningkat sebanyak 5.1% dan 1.2%.

“Bagi perbandingan suku ke suku, indeks volum meningkat sebanyak 0.7%, disokong oleh perdagangan runcit yang meningkat sebanyak 3.2%,” katanya dalam satu kenyataan mengenai indeks volum bagi perdagangan volum dan runcit untuk suku pertama tahun 2022 dengan tahun 2015 sebagai tahun asas. Pengembangan indeks volum kenderaan bermotor tahun ke tahun disumbangkan terutamanya oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor serta penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor yang mencatatkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 18.5% dan 16.5%, diikuti oleh jualan kenderaan bermotor sebanyak 9.1%. Beliau turut menambah jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal walau bagaimanapun menurun 14.1%.

Pada asas suku tahunan, indeks volum kenderaan bermotor turun sebanyak 0.9% berbanding suku sebelumnya. Menurut kenyataan itu, peningkatan sebanyak 5.1% dalam indeks volum perdagangan runcit disebabkan oleh jualan runcit bukan kedai, sebanyak 26.3%, diikuti oleh jualan runcit kedai bukan khusus (11.1%), jualan runcit bahan api automotif di kedai khusus (11.0%), dan jualan makanan, minuman dan tembakau, 6.6%. Indeks volum perdagangan runcit meningkat sebanyak 3.2% berbanding dengan suku sebelumnya.
Sementara itu, dalam bidang perdagangan borong, indeks volum mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.2% pada suku pertama 2022 berbanding dengan setahun lalu, disumbangkan oleh bahan mentah pertanian dan haiwan hidup, 8.4%; makanan, minuman dan tembakau, 4.6%; barangan isi rumah 3.3%, dan mesin, peralatan dan bekalan, 2.7%.
Pada perbandingan suku ke suku, indeks volum perdagangan borong menurun sebanyak 1.5%. Dilaraskan mengikut musim, indeks volum perdagangan borong/runcit meningkat sebanyak 5.2% berbanding dengan suku terakhir tahun 2021. “Semua subsektor mencatatkan pertumbuhan positif, iaitu perdagangan runcit sebanyak 5.9%, kenderaan bermotor sebanyak 5.0% dan perdagangan borong sebanyak 2.8%.”
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.