21 Mac 2022, 09:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdagangan Malaysia meneruskan trajektori meningkat pada Februari 2022 dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi perdagangan, eksport, import dan lebihan perdagangan, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. Beliau menyatakan bahawa perdagangan meningkat sebanyak 17.5% kepada RM184.75 bilion berbanding Februari 2021, menandakan pertumbuhan dua digit bagi 13 bulan berturut-turut.

Menurutnya, eksport melepasi paras RM100 bilion meningkat sebanyak 16.8% kepada RM102.27 bilion, pertumbuhan dua digit bagi tujuh bulan berturut-turut manakala import berkembang 18.4% kepada RM82.48 bilion dan lebihan perdagangan tumbuh 10.7% kepada RM19.79 bilion. “Eksport ke pasaran utama, terutamanya ASEAN, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun, merekodkan pertumbuhan dua digit,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Beliau turut menambah bahawa perdagangan, eksport dan import bulan ke bulan masing-masing susut sebanyak 9.2%, 7.9% dan 10.8%, berikutan hari bekerja yang singkat dan musim perayaan pada bulan Februari, manakala lebihan perdagangan meningkat sebanyak 6.6%. Bagi tempoh dua bulan pertama 2022, perdagangan, eksport dan import mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak tahun 2010. Perdagangan melonjak sebanyak 21.4% tahun ke tahun kepada RM388.33 bilion; dengan eksport naik 20.4% tahun ke tahun kepada RM213.34 bilion, import meningkat 22.6% tahun ke tahun kepada RM174.99 bilion dan lebihan perdagangan menokok 11.2% tahun ke tahun kepada RM38.35 bilion.

Produk elektrik dan elektronik menyumbang 38.8% daripada jumlah eksport iaitu sebanyak RM39.65 bilion, meningkat 25.8% tahun ke tahun daripada Februari 2021, manakala eksport produk petroleum naik 9.6% tahun ke tahun kepada RM7.32 bilion, menyumbang 7.2% daripada jumlah eksport. Sementara itu, kimia dan produk kimia berkembang sebanyak 28.2% tahun ke tahun kepada RM6.64 bilion, menyumbang 6.5% daripada jumlah eksport. Minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit melonjak sebanyak 58.9% tahun ke tahun kepada RM6.26 bilion atau 6.1% daripada jumlah eksport dan pembuatan logam meningkat 31.8% tahun ke tahun kepada RM4.95 bilion atau 4.8% daripada jumlah eksport.

“Pada Februari 2022, perdagangan dengan ASEAN menyumbang 27.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat sebanyak 24.6% tahun ke tahun kepada RM51.03 bilion.” Semasa bulan tersebut, perdagangan dengan China, yang mewakili 17.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat sebanyak 11.9% tahun ke tahun kepada RM32.18 bilion.

Beliau menambah perdagangan dengan EU yang menyumbang 8.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Februari 2022, berkembang sebanyak 17.8% tahun ke tahun kepada RM15.03 bilion. “Import dari EU meningkat 16.9% tahun ke tahun kepada RM5.86 bilion.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.