Oleh Ritah Yahaya
17 Februari 2022, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada umumnya, pandemik COVID-19 yang melanda dunia memberikan kesan yang cukup besar kepada masyarakat di negara ini, khususnya dari aspek sosioekonomi. Oleh hal yang demikian masyarakat Malaysia disarankan agar berani merebut peluang meneroka bidang keusahawanan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi pasca-COVID-19.

Demi membantu masyarakat Malaysia menjadi usahawan, Unclezam Holding Berhad yang popular dengan jenama Zamburger mengajak orang ramai yang berminat untuk program Zamburger JV. Modus operandi program ini ialah Zamburger akan memegang syer sebanyak 30%, manakala sebanyak 70% syer lagi akan dipegang oleh peserta program. Program ini hanya memerlukan modal serendah RM7000.00 kepada sesiapa yang berminat untuk menyertainya.

Menurut Norizam Tukiman atau Uncle Zam, pengasas yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Unclezam Holding Berhad, Zamburger akan menguruskan operasi gerai burger seperti membekalkan bekalan bahan mentah dan pekerja, manakala peserta hanya membuat promosi mengikut syarat yang ditetapkan oleh pihak syarikat.

“Saya menyasarkan untuk membuka 1000 buah gerai burger menerusi program ini. Walau bagaimanapun, kami berdepan dengan kekangan disebabkan oleh pandemik dan kelewatan tempahan gerai burger daripada pihak luar. Oleh itu, pihak kami sedang merancang untuk melakukan sedikit perubahan pada gerai burger supaya tempahan gerai dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.”

“Tujuan utama saya mewujudkan program ini adalah untuk membantu masyarakat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka. Kini, program Zamburger JV mempunyai 10 buah gerai burger di sekitar Johor, Melaka dan Kuala Lumpur. Kami mahu meluaskan program ini ke seluruh negara dan menyasarkan sekurang-kurangnya 300 buah gerai burger pada tahun 2022,” jelas Uncle Zam

“Selepas melihat kejayaan program Zamburger JV ini, saya merancang untuk mengambil alih perniagaan sate dan mahu membuat program yang serupa dengan Zamburger JV. Konsep yang akan digunakan sama seperti konsep yang diaplikasikan dalam Zamburger JV,” ujar beliau.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.