Oleh Ritah Yahaya
3 Februari 2022, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) pada hari ini dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Yaakob secara telesidang ini dihadiri oleh 13 orang menteri, tokoh industri, termasuklah dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik, dan wakil pelajar.

Mesyuarat MTVET kali ini melakarkan sejarah dengan memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (Government- Industry TVET Coordination Body (GITC)).

Buat julung-julung kalinya, badan yang diterajui industri tersebut akan terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan TVET negara, khususnya berkaitan dengan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.

Keanggotaan GITC terdiri daripada 12 buah persatuan berdasarkan sektor industri yang bersetuju bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda TVET negara melalui GITC.

Mesyuarat juga bersetuju dengan pelaksanaan TVET Collaboration Hub, melibatkan 11 buah kementerian dan diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri.

Sebanyak 12 hab dikenal pasti, termasuklah automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Mesyuarat bersetuju secara dasar dengan cadangan penarafan tunggal TVET, namun proses libat urus bersama-sama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET yang akan datang.

Inisiatif ini dijangka akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak yang terlibat untuk merapatkan jurang antara permintaan dengan penawaran tenaga kerja.

Usaha yang dilaksanakan MTVET amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Dalam Belanjawan 2022, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk memperkasakan TVET melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkaitan.

Inisiatif ini bakal menyediakan siswazah yang menepati keperluan industri, meningkatkan kualiti institusi TVET, memperkukuh penawaran program berorientasikan industri dan memperhebat keterlibatan aktif industri.

Sudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan. Hal ini demikian kerana TVET terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diminta membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar Tingkatan 1, agar mereka boleh membuat pilihan yang bersesuaian dengan kecenderungan mereka.

Hingga kini, terdapat 1295 orang penyedia TVET awam dan swasta yang merentasi 11 buah kementerian termasuk 22 buah institusi TVET kerajaan negeri di seluruh Malaysia, yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma.

Kerajaan kini mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia (MTUN), iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Elemen ini berupaya menjadikan seseorang belia lebih berdikari dan mampu menyesuaikan diri dalam suasana kerjaya yang mencabar.

Menyedari kepentingan TVET, mesyuarat bersetuju agar kempen, promosi dan penjenamaan semula dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua dan sudah tidak relevan lagi.

Melalui kempen dan promosi ini, kerajaan mengharapkan supaya TVET dijadikan pilihan setara dengan akademik, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan seperti negara maju yang lain.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.