19 Januari 2022, 09:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini menganjurkan program “UniMAP Entrepreneur & Career Talk 2022”. Program tersebut telah dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dalam titah perasmian itu, baginda bertitah bahawa siswazah perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan persediaan yang mencukupi kerana pasaran kerja masa ini sudah jauh berbeza daripada zaman dahulu.

Tambahan pula, ketidaktentuan keadaan semasa turut memberikan kesan yang hebat terhadap graduan bagi tahun 2020, 2021 dan 2022. Keadaan ini telah menyebabkan kadar persaingan untuk mendapatkan pekerjaan menjadi tinggi sejak akhir-akhir ini. Oleh itu, siswazah perlu didedahkan dengan pelbagai aspek yang berkaitan dengan pengetahuan, kemahiran serta pengalaman oleh pihak universiti agar mereka bersedia untuk memasuki pasaran kerja kelak.

Pada kesempatan yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan semua masyarakat tentang kesan COVID-19 yang menyebabkan pengurusan industri dan syarikat terpaksa dilakukan secara dalam talian.

Keadaan itu menuntut masyarakat untuk menguasai kemahiran digital. Sehubungan dengan itu, Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP menitahkan para mahasiswa agar melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran terkini yang akan menjadi kelebihan untuk mengisi sebarang kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh syarikat.

Hadir sama memeriahkan majlis tersebut ialah Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

Antara ahli panel yang diundang dalam program itu ialah Ketua Pegawai Pemasaran & Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani; Pengarah Kanan Frost & Sullivan Asia Pacific, Barry Lim; Ketua Mastrak, Eena Khalil Lim; Pengarah Eksekutif Energy Actions Partner, Ayu Abdullah; dan Penasihat Envision Digital International Pte. Ltd., iaitu Azaidi Mohd Lazim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.