15 Oktober 2021, 15:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berdasarkan penerbitan Perangkaan Getah Bulanan di Malaysia bagi bulan Ogos 2021, Jabatan Perangkaan Malaysia pada hari ini mengumumkan pengeluaran getah asli menurun sebanyak 11.7 peratus pada Ogos 2021, iaitu 42 942 tan metrik berbanding dengan bulan Julai pada tahun yang sama dengan jumlah 48 610 tan metrik.

Penerbitan perangkaan getah bulan ini memaparkan statistik berkaitan dengan pengeluaran, import, eksport, penggunaan domestik, stok, harga, bilangan pekerja, gaji dan upah serta produktiviti bagi estet getah.

Menurut Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, pengeluaran tahunan turut menunjukkan penurunan sebanyak 3.6 peratus berbanding dengan 44 543 tan metrik bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Tambah beliau, sektor pekebun kecil merupakan penyumbang besar kepada pengeluaran getah asli Malaysia pada Ogos 2021, iaitu 90.9 peratus berbanding dengan sektor estet hanya sebanyak 9.1 peratus.

Sementara itu, dilaporkan bahawa jumlah stok getah asli meningkat 2.3 peratus pada Ogos 2021 kepada 287 380 tan metrik berbanding dengan 280 844 tan metrik pada Julai 2021. Dalam hal ini, kilang pemproses getah telah menyumbang stok akhir sebanyak 91.5 peratus diikuti dengan kilang pengguna getah (8.4 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli, iaitu 43.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Ogos 2021 diikuti Amerika Syarikat (9.0 peratus), Perancis (8.4 peratus), Turki (3.1 peratus) dan Brazil (2.4 peratus). Namun begitu, eksport getah asli Malaysia adalah sebanyak 59 172 tan metrik, iaitu meningkat 21.6 peratus berbanding dengan Julai 2021 (48 645 tan metrik).

Prestasi eksport produk getah negara disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli, seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilainya sebanyak RM3.8 bilion pada Ogos 2021, menurun sebanyak 1.4 peratus berbanding dengan Julai 2021.

Mengulas lebih lanjut, Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir menjelaskan bahawa prestasi pertumbuhan pengeluaran getah asli Malaysia dalam tempoh lapan bulan pertama tahun 2021 mencatatkan penurunan 4.0 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2020 (313 180 tan metrik bagi Januari–Ogos 2021, dan 326 194 tan metrik bagi Januari–Ogos 2020).

“Meskipun begitu, jumlah eksport getah asli mencatatkan peningkatan ketara pada tahun 2021, iaitu 22.7 peratus berbanding dengan pada tempoh sama pada tahun sebelumnya. Peningkatan ketara ini sejajar dengan prospek ekonomi yang lebih baik berikutan daripada pemulihan dalam perdagangan global dan rangkaian bekalan,” ujar beliau lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.