Oleh Ad Aman
14 Oktober 2021, 18:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan mengumumkan penubuhan  Program Transformasi Syarikat Senaraian Awam (PLCT) bagi memastikan prestasi tinggi sektor korporat negara.

Tengku Datuk Seri Zafrul berkata, “penubuhan PLCT itu juga merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan untuk melengkapkan inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) yang dilaksanakan ke atas Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC)”.

Inisiatif yang bakal diterajui oleh Bursa Malaysia Berhad itu akan memberikan tumpuan kepada peningkatan lima tonggak dalam Syarikat Senaraian Awam (PLC), antaranya operasi dipacu prestasi, pertumbuhan sebagai organisasi lestari, bertanggungjawab dan beretika, serta pengukuhan tadbir urus korporat.

Turut menjadi tonggak utama program tersebut ialah kebolehan digital dan sokongan terhadap pembinaan negara bagi memajukan ekonomi, serta komuniti di Malaysia.

PLCT dilaksanakan dari tahun 2021 hingga 2025. Perkara ini akan menyaksikan kemajuan PLC negara dalam pelbagai aspek, termasuklah membina kedudukan kewangan lebih kukuh dan meningkatkan komposisi dalam Lembaga Pengarah, seterusnya meletakkan kedudukan yang lebih baik untuk menyumbang kepada agenda nasional.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Invest Malaysia 2021 yang diadakan secara maya pada Khamis.

Pelaksanaan PLCT itu turut melibatkan penerbitan lima buku panduan digital dengan setiap satu daripadanya mewakili setiap tonggak yang digariskan dengan buku pertamanya akan dikeluarkan pada akhir tahun ini.

Bagi meningkatkan ketelusan dan keberkeksanana program tersebut, pemantauan terhadap usaha dan kemajuan PLC bakal dikongsikan melalui papan pemuka digital (dashboard).

“Sepanjang pelaksanaan program ini, sokongan oleh peneraju industri dan pemimpin korporat sangat penting. Oleh itu, saya menggesa semua PLC negara untuk menyokong program ini bagi meningkatkan sektor korporat, pasaran modal dan ekonomi negara.

“Usaha digerakkan melalui Program Perkukuh, Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) hingga PLCT secara keseluruhannya akan memastikan asas ekonomi menjadi lebih kuat, di samping meletakkan negara pada landasan kemakmuran, inklusif dan lestari,” ujarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.