12 Oktober 2021, 23:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia merekodkan jualan RM100 bilion, merosot -10.2 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun yang lalu.

Kemerosotan tersebut merupakan pertumbuhan negatif atau dua digit ketiga berturut-turut selepas penurunan -14.7 peratus pada Julai dan -10.3 peratus pada Jun yang lalu.

Walau bagaimanapun, laporan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit, Ogos 2021 memaklumkan bahawa nilai jualan dari bulan ke bulan sektor tersebut merekodkan pertumbuhan sebanyak 7.9 peratus.

Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia menjelaskan bahawa jualan perdagangan borong turun -0.1 peratus untuk mencapai RM51.9 bilion, manakala subsektor perdagangan runcit menguncup -7.5 peratus disebabkan oleh jualan runcit di kedai pengkhususan yang turut merosot -14.8 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM8.1 bilion.

“Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan merosot -8.1 peratus kepada RM15.4 bilion. Hal ini diikuti oleh jualan runcit barangan isi rumah -7.5 peratus, jualan runcit bahan api kenderaan (-6.2 peratus), jualan runcit peralatan informasi dan komunikasi (-0.9 peratus), jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (-1.3 peratus) dan jualan runcit barangan kesenian serta rekreasi -1.4 peratus.

“Walau bagaimanapun, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar serta jualan runcit di gerai dan pasar masing-masing mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 20.8 peratus dan 5.9 peratus.

“Secara perbandingan bulanan, perdagangan runcit naik 2.9 peratus (Ogos) dengan semua kumpulan dalam subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Tambahan pula, hal ini juga menunjukkan peningkatannya pada nilai jualan perdagangan borong dari bulan ke bulan pada Ogos lalu yang merekodkan kenaikan 7.9 peratus, didorong oleh kebenaran semula 11 sektor ekonomi dan pengedaran di negeri Fasa Satu dan Fasa Dua di bawah Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

Pada masa yang sama, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir memaklumkan bahawa pertumbuhan -57.6 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Ogos lalu adalah disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor yang merosot -60.9 peratus, iaitu sebanyak RM4.8 bilion kepada RM3.1 bilion.

“Hal ini turut diikuti dengan jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang merosot kepada -47.2 peratus, iaitu mencatatkan RM1.7 bilion.

“Penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor juga menurun -48.6 peratus kepada RM0.9 bilion diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal dengan pertumbuhan -79.0 peratus untuk mencapai RM0.8 bilion,” ujar beliau.

Namun begitu, perbandingan dari bulan ke bulan bagi jualan subsektor kenderaan bermotor meningkat 188.1 peratus dengan dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang merekodkan kenaikkan 135.5 peratus selepas kebenaran operasi bilik pameran dan pusat jualan kereta di negeri utama.

Jelas beliau lagi, indeks jualan runcit melalui internet pada Ogos merekodkan pertumbuhan dari tahun ke tahun yang lebih tinggi pada Julai lalu (9.4 peratus) apabila terus mencatatkan peningkatan sebanyak 13.8 peratus.

Bagi indeks volum perdagangan borong dan runcit pula, hal ini menunjukkan pertumbuhan -12.2 peratus dari tahun ke tahun dengan penguncupan tersebut adalah disebabkan oleh volum kenderaan bermotor yang menjunam -59.0 peratus, diikuti perdagangan runcit (-8.1 peratus) dan perdagangan borong (-3.3 peratus).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi