Oleh Ad Aman
12 Oktober 2021, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Nilai jualan sektor pembuatan negara pada Ogos 2021 merekodkan pertumbuhan sebanyak 6.8 peratus berbanding dengan bulan yang sama pada tahun lalu, iaitu RM126.5 bilion.

Menurut laporan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia, Ogos 2021, turut merekodkan peningkatan ialah dari jualan bulan ke bulan sektor tersebut pada bulan itu yang meningkat 5.5 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya. Peningkatan ini dikatakan demikian dipengaruhi oleh pembukaan meluas sektor ekonomi seiring dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, pertumbuhan nilai jualan pada Ogos itu dipacu oleh subsektor Produk Petroleum, Kimia, Getah dan Plastik yang meningkat 31.4 peratus, terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

“Pengembangan ini turut didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (7.0 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan, serta subsektor produk elektrik dan elektronik (6.9 peratus), terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal.

“Nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 75.3 peratus dari jumlah nilai jualan, merekodkan kenaikan 14.3 peratus (RM95.2 bilion), manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kejatuhan sebanyak 10.8 peratus pada Ogos 2021 berbanding dengan Ogos 2020.

“Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport seiring dengan pertumbuhan dua digit yang dicatatkan bagi eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Bagi perbandingan dari bulan ke bulan, Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir menjelaskan bahawa industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing merekodkan pertumbuhan positif 3.5 peratus dan 12.2 peratus.

Pada masa yang sama, jumlah pekerja sektor pembuatan pada Ogos 2021 adalah sebanyak 2 213 715 orang, peningkatan 1.0 peratus berbanding dengan 2 190 787 orang pada Ogos tahun lalu. Peningkatan itu disumbangkan oleh sektor produk elektrik dan elektronik (4.3 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (1.8 peratus).

Laporan tersebut juga menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar ialah berjumlah RM7 230.1 juta, meningkat 1.7 peratus atau RM117.5 juta pada Ogos 2021 berbanding dengan bulan yang sama tahun sebelumnya.

Di samping itu, nilai jualan per pekerja meningkat 5.7 peratus kepada RM57 160 berbanding dengan bulan yang sama tahun 2020. Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3266 pada Ogos 2021.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, nilai jualan sektor pembuatan bertambah 15.5 peratus kepada RM992.4 bilion berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2020.

“Bilangan pekerja dan gaji dan upah masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.0 peratus dan 2.3 peratus, iaitu berjumlah 2.21 juta orang dan RM59.2 bilion. Nilai jualan per pekerja bagi lapan bulan pertama tahun 2021 turut bertambah 14.3 peratus, iaitu sebanyak RM448 314,” menurut laporan tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.