24 September 2021, 15:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yakin bahawa sasaran kerajaan untuk mewujudkan 500 000 peluang pekerjaan dapat dicapai melalui Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP).

Sasaran 500 000 peluang pekerjaan bakal dicapai.

Menurut YAB Dato’ Sri Ismail Sabri dalam Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang bermesyuarat buat kali ketiga semalam, sebanyak 354 276 pencari kerja berjaya mendapatkan pekerjaan sehingga 30 September 2021, iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan.

Pencari kerja berjaya mendapatkan pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.”

“Kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih daripada 97 000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76 peratus daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir. Jumlah itu adalah sebahagian daripada sasaran 160 000 pekerjaan baharu yang terhasil daripada pelaburan bagi tahun 2021.

Perdana menteri yang juga merupakan pengerusi NEC berkata, kerajaan akan melaksanakan NJCSP yang disokong oleh lima pasukan petugas khas di bawah kepimpinan NEC.

Melalui pelan ini, enam teras utama akan dipertingkatkan dalam penciptaan pekerjaan di Malaysia, iaitu meningkatkan kerjasama antara industri dengan akademik, memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri dan memperkasa usahawan tempatan untuk kemajuan ekonomi semasa.

“Enam teras itu akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam game changers termasuk mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya, di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” jelas beliau.

Selain itu, hal ini adalah untuk memanfaatkan ekonomi gig dalam usaha mencari peluang penjanaan pendapatan, memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden, serta mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden.

Dalam inisiatif ini, NJCSP memberikan cadangan untuk mewujudkan satu platform khusus bagi penyelarasan maklumat semua institusi TVET di Malaysia, serta program dan peluang yang ditawarkan bagi memadankan mereka dengan institusi TVET yang sesuai untuk memudahkan pencarian kerjaya pada masa hadapan.

“Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga diberikan tanggungjawab untuk membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dilaksanakan oleh mana-mana kementerian atau agensi dapat dilakukan secara berstruktur dan efektif,” ujar beliau.

Mengulas lebih lanjut, mesyuarat juga bersetuju supaya kursus yang ditawarkan adalah berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat.

“Kerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan usaha pemulihan ekonomi dan meningkatkan lagi penciptaan pekerjaan. Hal ini sekali gus menangani isu-isu, seperti kekurangan pekerja dalam sektor yang tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian,” ujar beliau dalam laporan mesyuarat NEC semalam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.