20 September 2021, 16:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan Ekspo Go-eCommerce 2021, iaitu persidangan e-dagang maya untuk memacu adaptasi e-dagang dalam kalangan perniagaan tempatan dengan memanfaatkan inisiatif Go-eCommerce Belanjawan 2021.

MDEC menjangkakan ekspo yang bermula pada hari ini hingga 23 September dapat menggalakkan penggunaan e-dagang sebagai saluran pendapatan kepada perniagaan tempatan, sekali gus memperoleh khalayak yang lebih luas dalam usaha meningkatkan jualan.

MDEC bekerjasama dengan 23 rakan kongsi seperti Alacarte, DeliverEat, DHause, Dropee, eRomman, EZAssist, Food Market Hub, Foodpanda, Grab, iBeli, Instantestore, JDMas, JOCOM, Kravve, Kumoten, Lazada, Mpay, PGMall, senangPay, Shopee, SHOPLINE, SiteGiant dan SUBPLACE untuk memastikan capaian khalayak yang lebih luas dan meningkatkan penglibatan perniagaan tempatan.

“Pandemik menunjukkan adaptasi digital merupakan satu daripada keperluan untuk berjaya dalam perniagaan. MDEC menerusi inisiatif #SayaDigital akan terus menyokong penuh perniagaan tempatan untuk memanfaatkan Belanjawan 2021 dan program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH),” demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC,  Mahadhir Aziz dalam kenyataan.

Menurut beliau, MDEC yakin bahawa e-dagang akan mencipta lebih banyak peluang dan aliran pendapatan dengan memajukan ekonomi digital secara menyeluruh selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Menurut laporan MyDIGITAL, ekonomi digital dijangka menyumbang sebanyak 22.6 peratus untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025 serta menyasarkan sebanyak 875 000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai langkah untuk mengadaptasi e-dagang.

Sumber MDEC turut menjelaskan ekspo tersebut bakal menampilkan tetamu industri berpengalaman bagi berkongsi pengalaman, petua mencipta kesedaran jenama, saluran memacu jualan, selain penggunaan media sosial untuk meningkatkan e-dagang.

Pada tahun 2020, Ekspo Go-eCommerce berjaya menarik kira-kira 3000 pendaftaran dan lebih 30 000 penonton menerusi 12 webinar dengan penampilan 23 tetamu jemputan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.