17 September 2021, 18:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR- Peruntukan sebanyak RM9.13 bilion yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk Sabah dan Sarawak pada Khamis lalu disifatkan sebagai langkah tepat dan menggembirakan rakyat di kedua-dua negeri itu.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Madya Dr. Jeniri Amir berpendapat hal tersebut dapat mengurangkan jurang pembangunan prasarana, ekonomi digital dan sosial di negeri terbabit. Peruntukan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sekitar RM9 bilion itu tentunya disambut baik 6.6 juta rakyat Negeri Sarawak dan Sabah.

“Sesungguhnya cerminan semangat “Keluarga Malaysia” yang telah digagaskan oleh YAB Perdana Menteri merupakan komitmen jitu Kerajaan Persekutuan untuk memastikan jurang lebar antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia dapat dirapatkan,” jelas beliau.

Sebelum ini, pelbagai rungutan dan masalah telah lama berlarutan termasuklah kemudahan asas yang jauh ketinggalan. Oleh sebab itu, komitmen Kerajaan Persekutuan itu dijangka dapat memacu Sabah dan Sarawak setanding dengan negeri-negeri maju yang lain.

“Segala peruntukan yang dinyatakan itu amat munasabah dan serasi dengan keinginan YAB Perdana Menteri untuk melihat Sabah dan Sarawak juga dapat berdiri sama tinggi dengan negeri lain,” tambah Dr. Jeniri.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM4.66 bilion bagi negeri Sabah, manakala sebanyak RM4.47 bilion bagi negeri Sarawak.

Peruntukan itu jelas beliau akan disalurkan melalui peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!