17 September 2021, 14:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Bekalan bahan pembinaan semakin berkurang akibat kilang tidak beroperasi ketika pelaksanaan PKP.

Kuala Lumpur – Baru-baru ini, Maybank IB Research melaporkan bahawa industri hartanah sedang berdepan dengan permasalahan kekurangan bahan binaan yang serius sehingga menyebabkan tempoh pembinaan sesuatu projek menjadi lebih perlahan.

Datuk Ir. Soam Heng Choon, Ketua Pegawai Eksekutif REHDA.

“Banyak kilang tidak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun begitu, apabila sektor hartanah dibenarkan beroperasi semula, semua simpanan stok kilang yang ada habis dibeli,” kata Datuk Ir. Soam Heng Choon, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA).

Walau bagaimanapun, Datuk Ir. Soam Heng Choon berkata, masalah kekurangan bahan binaan ini dijangka akan selesai pada suku keempat tahun ini. Kekurangan bahan binaan itu hanyalah bersifat sementara.

Katanya, kilang yang tidak mempunyai simpanan stok mencukupi untuk memenuhi permintaan memerlukan tempoh dalam sebulan atau dua bulan sebelum mencukupkan kembali stok tersebut.

Harga bahan binaan juga akan kembali normal dan stabil secara perlahan-lahan.

“Namun begitu, keputusan kewangan suku ketiga 2021 dijangkakan lebih lemah dan sebahagian pemaju akan mengalami kerugian memandangkan sekatan pergerakan mula dilonggarkan pada akhir Ogos,” kata Wong Wei Sum, penganalisis REHDA.

Oleh itu, REHDA sedang melobi untuk melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) berikutan pemaju tidak memperoleh manfaat secara keseluruhannya akibat tempoh sekatan pergerakan yang lama sehingga Ogos lalu.

Mengulas tentang perkara itu, berbakikan tiga bulan setengah sebelum kempen berakhir pada akhir tahun ini, REHDA akan melihat prestasi jualan industrinya dalam tempoh dua bulan ini sebelum memutuskan langkah seterusnya.

“Jika penjualan terjejas, REHDA masih ada masa sehingga November atau selepas belanjawan dibentangkan untuk memohon melanjutkan kempen tersebut demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.