7 September 2021, 14:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, pada hari ini, menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Bank dengan Sabah Development Bank Berhad (SDB) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif SDB, Datuk Vincent Pung Yee Kiong. Selain itu, turut diadakan Majlis Penyerahan Surat Niat (Letter of Intent) antara SME Bank dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang juga diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dan Timbalan Yang Di-Pertua MUIS, Ustaz Malai Ali Malai Ahmad  di Menara Kinabalu, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Majlis ini turut disaksikan oleh YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II dan YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.

Melalui MoU ini, SME Bank dan SDB telah mencapai satu persefahaman pembiayaan dalam usaha untuk membantu Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah, pembiayaan “Club Deal” untuk projek berskala besar, perkongsian sumber antara SME Bank dengan SDB bagi mempromosikan kemudahan pembiayaan serta program pembangunan usahawan yang ditawarkan oleh kedua-dua pihak khususnya dalam sektor pertanian, perindustrian, pelancongan, perdagangan dan aktiviti pembuatan.

Kerjasama antara SME Bank dengan MUIS pula memfokuskan Program Pembangunan Keusahawanan, ISHRAF 2.0 yang diterajui oleh SME Bank. Program ini bertujuan untuk membantu golongan B40 melalui perkembangan perniagaan dan sosioekonomi. Melalui program ini, sebanyak 10 orang usahawan Asnaf Sabah akan dipilih bermula pada Oktober 2021 dan mereka akan diberikan latihan asas keusahawanan dan kewangan.

Sebagai rekod, pada tahun 2020, Program ISHRAF 1.0 berjaya membantu sebanyak 20 orang peserta dengan catatan jualan terkumpul sejak Januari 2020 hingga Jun 2021 berjumlah RM853 701.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.