27 Ogos 2021, 12:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Dalam tempoh beberapa hari selepas pertukaran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akhirnya terjawab juga spekulasi berhubung nama anggota Kabinet baharu di bawah pentadbirannya.

Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Pembentukan Kabinet baharu ini diumumkan pada pukul 11.00 pagi tadi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Sementara itu, majlis angkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri bakal berlangsung pada Isnin minggu hadapan, pukul 2.30 petang.

Perkara ini disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri beberapa jam selepas Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang, semalam bagi mempersembah senarai nama anggota Kabinet baharu itu.

Senarai Kabinet yang dipilih merupakan kombinasi ahli yang berpengalaman, diyakini, mampu membantu negara memulihkan semula ekonomi dengan menyokong usahawan, memudahcarakan perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi, serta meyakinkan golongan pelabur.

“Oleh itu, pelantikan Kabinet baharu ini diharap dapat memberikan keyakinan dan nafas baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan serangan wabak COVID-19, di samping membebaskan rakyat daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini,” kata Perdana Menteri dalam pengumuman khas pagi ini.

Susulan daripada senarai Ahli Jemaah Kabinet baharu ini, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kewangan, iaitu Datuk Seri Azmin Ali dan Tengku Datuk Seri Mohd. Zafrul Tengku Abdul Aziz, kekal di kementerian masing-masing.

“Saya akan pastikan Kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi. Setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Maka itu, setiap kementerian yang diamanahkan ini perlu memberikan tumpuan jelas dan membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” jelas beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.