27 Ogos 2021, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menyedari banyak golongan yang terkesan disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19, Program CSR Hasil Prihatin menyediakan sebanyak 2450 bakul makanan untuk diserahkan kepada kumpulan sasar. Pelaksanaan program ini dilakukan secara serentak di beberapa negeri, seperti Sabah, Kelantan, Johor dan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jelas, program ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan demi memastikan kelangsungan hidup mereka terpelihara, lebih-lebih ketika situasi yang sangat mencabar ini.

Sumber Foto: Malakat Tribune.

Di Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin, Yang Di-Pertua Negeri Sabah berkenan menghadiri program ini yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Nur Juhar (YNJ). YBhg. Dato’ Sri Dr. Sabin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menyerahkan bantuan 600 bakul makanan kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Sri Panglima Dr. Haji Juhar yang kemudiaannya akan diagihkan kepada penduduk setempat. Penyerahan sumbangan ini diadakan di Dewan Santapan Istana Negeri dan merupakan program bersama melalui YNJ.

Sumber Foto: Air Kelantan Sdn. Bhd.

Di Kelantan,  Pusat Khidmat Dun Pasir Pekan, Wisma I’baadurrahman Tumpat menjadi destinasi pelancaran program ini yang disempurnakan oleh YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob (Dato’ Bentara Kanan), Menteri Besar Kelantan. Upacara penyerahan 750 bakul makanan sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) kepada wakil penduduk dari empat daerah, iaitu Tumpat, Kuala Krai, Peringat dan Kota Bharu. Turut hadir pada program tersebut ialah YBhg. Datuk Mohd Jaafar Embong, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDNM, Kamarudzaman Bahrain, Pengarah Negeri LHDNM Terengganu dan Kelantan, serta pegawai kanan LHDNM Kota Bharu.

Di Johor pula, program penyerahan sumbangan diadakan di Dewan Serbaguna Menara Hasil Johor Bahru. Md Kamal Johan selaku Pengarah Negeri LHDNM Johor menyerahkan 600 bakul makanan kepada wakil masjid dan surau di sekitar Daerah Johor Bahru untuk diserahkan kepada kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik. Antara masjid dan surau yang terlibat, termasuklah Surau Al Muhajirin di Taman Sinaran Kempas, Masjid Annur di Taman Cendana, Surau Assolawatil Hikmah, Taman Desa Mutiara, Surau Ar Raudah, Taman Nusantara, Surau An Nur, Taman Daya dan Surau Jumaat yang terletak di Taman Skudai Kanan.

Sementara itu, Mohamad Fauzi Saat, Pengarah Negeri LHDNM WP Putrajaya pula berkesempatan menyerahkan sejumlah 500 bakul makanan kepada wakil penduduk di PPR Hiliran Ampang dan Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur. Pemberian sumbangan ini khusus untuk penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan PPR Hiliran Ampang, Kampung Orang Asli Ulu Kemensah, SMK Lembah Keramat, SRAI Taman Keramat, Tabika Perpaduan Sri Selangor, PPR Wangsa Sari serta PPR Desa Rejang.

Menurut laporan, sesi penyerahan bakul makanan ini merupakan sebahagian daripada siri penyampaian sumbangan berbentuk makanan dan barang keperluan asas di bawah Program CSR Hasil Prihatin yang dilancarkan oleh Kementerian Kewangan pada 31 Julai 2021 yang lalu dan diharapkan program sebegini diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.