24 Ogos 2021, 11:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Meskipun pandemik COVID-19 belum menunjukkan tanda pengakhirannya, Selangor masih menjadi pilihan utama pelabur tempatan dan luar negara untuk menjalankan perniagaan berikutan kemudahan prasarana yang lengkap dan moden. Hal ini selaras dengan dasar kerajaan yang mencorakkan persekitaran perniagaan

“Sebanyak 324 projek perkilangan telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah Ringgit Malaysia RM18.43 bilion.

“Dari jumlah ini, sebanyak RM6.95 bilion (37.7 peratus) daripada pelaburan tempatan dan RM 11.48 bilion (62.3 peratus) daripada pelaburan asing.

“Pelabur dari Jepun merupakan pelabur utama, diikuti dengan pelabur dari Netherlands dan China,” titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2021.

Baginda bertitah, kelebihan daya saing itu menyaksikan prestasi pelaburan dan perindustrian bagi tahun 2020 merekodkan pencapaian cemerlang dengan mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding dengan negeri lain.

Sementara itu, baginda turut menyatakan di sebalik pandemik, sebanyak 19 950 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan hasil daripada projek perkilangan yang diluluskan di Selangor.

“Bagi tahun ini, sasaran pelaburan yang ditetapkan kekal sebanyak RM12 bilion. Pengekalan sasaran ini adalah berdasarkan jangkaan berlakunya pengurangan dalam aktiviti pelaburan disebabkan penularan wabak COVID-19 dan proses pemulihan ekonomi yang dihadapi seluruh negara ketika ini,” titah baginda.

Walaupun Selangor menjadi tumpuan sektor pelaburan, tidak dinafikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan penutupan premis perniagaan yang menyebabkan rakyat kehilangan sumber pekerjaan dan pendapatan.

“Peningkatan kepada kadar pengangguran negara dilaporkan kian meningkat, iaitu 4.9 peratus pada tahun 2020 berbanding dengan 3.2 peratus pada tahun 2019.

“Selepas sedikit pertumbuhan pada awal tahun ini, baru-baru ini kadar pengangguran meningkat semula kepada 4.8 peratus selepas 40 600 pekerja hilang pekerjaan pada Jun 2021,” titah baginda.

Penularan wabak ini memaksa rakyat untuk menggunakan teknologi dan kemudahan dalam talian sebagai sebahagian daripada kehidupan seperti membeli barangan, menghadiri kelas, bermesyuarat, menguruskan bencana dan aktiviti seharian lain.

Menurut Sultan Selangor, hal ini menunjukkan bahawa kita sedang bergerak ke arah satu kehidupan serba digital atau lebih dikenali sebagai Revolusi Perindustrian 4.0 dan Masyarakat 5.0.

“Selangor akan terus menyediakan infrastruktur bermutu dan berkelajuan tinggi serta khidmat penyambungan digital yang cekap dan selamat,” titah baginda ketika mengakhiri ucapan persidangan tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.