23 Ogos 2021, 14:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Hafiz Hiew dinobatkan sebagai Antara 100 Ketua Pegawai Eksekutif Muda Terkemuka di Malaysia.

Sebagai pejuang dan penggiat industri, rasa bertanggungjawab untuk menukarkan kembali persepsi masyarakat, terutamanya pelapis masa depan agar mengutamakan pendidikan dalam bidang keusahawanan. Timbul persoalan yang berlegar-legar dalam fikiran Hafiz Hiew, mengapakah kebanyakan orang, terutamanya bangsa Melayu, meletakkan perniagaan sebagai pilihan terakhir dalam kerjaya mereka? Jika sebut tentang perniagaan, pastinya dilabelkan sebagai golongan bawahan atau tidak mempunyai standard kedudukan, yang dikatakan berniaga adalah jalan terakhir bagi menjana pendapatan rentetan daripada tiada kelayakan daya saing yang mampan dalam pasaran industri.

Mohd. Hafizuddin Hiew Abdullah atau lebih mesra disapa sebagai Hafiz Hiew.

“Perniagaan bukanlah suatu pekerjaan yang hina, namun perniagaan merupakan antara bidang yang sangat membina. Jika tidak mampu menjadi ahli pakar profesional, sekurang-kurangnya jadilah orang yang bermanfaat dan dapat membantu mengembangkan ekonomi negara.”

Dahulunya berbangsa Cina, kini apabila mendalami kehebatan kitab al-Quran yang bersifat menyeluruh, beliau tekad memeluk Islam pada tahun 2019. Dilahirkan 15 Januari 1987 di Ipoh, Perak, yang merupakan anak sulung daripada dua beradik ini sudah berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak berumur 14 tahun demi mencari rezeki tambahan untuk membantu keluarganya. Beliau mendapat asas pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Gunung Rapat Ipoh dan pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Gunung Rapat Ipoh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson Ipoh, Perak.

Seterusnya, Hafiz Hiew berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam bidang Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) dengan jurusan Keusahawanan Teknologi Pertanian. Oleh sebab cintakan pelajaran dalam masa yang sama minat dalam bidang keusahawanan, beliau meneruskan lagi pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dengan jurusan Perniagaan di UMK.

Berlandaskan pengalaman yang mendalam dalam bidang perniagaan, ketersediaan untuk melangkah ke dunia keusahawanan semakin membakar semangat dan jiwanya. Sebelum menubuhkan TDC Holdings Sdn. Bhd., Hafiz Hiew pernah membuka dan menjalankan perniagaan pencetakan pakaian dan cenderamata di Bachok, Kelantan ketika Tahun Ketiga pengajian di UMK lagi.

Kini, TDC Holdings Sdn. Bhd. yang sudah bertapak di Malaysia, bahkan meluas hingga ke Singapura, Thailand, Brunei Indonesia akan menempa nama “Hafiz Hiew” ke peringkat global. Syarikat ini menjadi simbol kejayaan, kebanggaan, kegigihan dan semangat juang dalam meningkatkan syarikat Bumiputera yang berteraskan keseimbangan antara pelanggan dengan organisasi mengikut acuan Islam. Hala tuju ini sekali gus dapat menempis tanggapan negatif bahawa anak muda Bumiputera tidak boleh berjaya dalam bidang keusahawanan.

“Fikirkan hal-hal yang paling hebat, dan kamu akan menjadi hebat. Tetapkan akal pada hal tertinggi, dan kamu akan mencapai yang tertinggi. Saya selalu berpegang pada prinsip, iaitu bermula dengan niat yang baik. Inilah merupakan strategi yang paling utama sebelum membenarkan strategi pemasaran yang lain,” kongsi antara 100 Ketua Pegawai Eksekutif Muda Terkemuka di Malaysia ini.

Tambahnya lagi, sepanjang 11 tahun dalam bidang keusahawanan ini, terdapat pelbagai kerenah usahawan yang dilihat yang menjadi faktor kepada kegagalan dalam kelangsungan perniagaan. Faktor utamanya, kealpaan seorang usahawan yang tersasar daripada niat asal perniagaannya. Hal ini dikatakan demikian apabila perniagaan semakin stabil dan maju, mereka lupa akan kebajikan terhadap masyarakat, khususnya ahli keluarganya sendiri. Selain itu, ada pula yang lupa akan tanggungjawab untuk membantu golongan yang memerlukan dan banyak menggunakan kekayaan keuntungan perniagaan untuk diri sendiri dengan riak dan sombong.

“Apabila niat sudah terbabas, kadangkala kita diuji dan Allah akan menarik semula rezeki itu. Sesungguhnya, Allah Maha pemberi rezeki. Allah memberikan ujian untuk umatnya menyedari akan kesilapan, dan perlu kembali mendekatkan diri dengan Pencipta-Nya, serta membaiki hubungan sesama manusia. Carilah keberkatan sebelum mendapat keuntungan. Dalam sibuk mengejarkan keuntungan perniagaan, sebagai peniaga Islam, kita haruslah tekad berusaha untuk mengeluarkan zakat dan bersedekah kepada golongan yang memerlukan. Bersedekah tidak sama sekali mengurangkan dan merugikan harta, bahkan perkara ini akan semakin bertambah dan terus bertambah,” ujar pengasas susu kolostrum yang mempunyai jiwa dermawan dan niat yang telus.

Dengan ketetapan prinsip yang teguh meletakkan sepenuh keyakinan pada Allah, perniagaan TDC Holdings Sdn. Bhd. dikatakan terus meraih keuntungan besar dan permintaan yang sangat tinggi daripada pengguna walaupun berhadapan dengan cabaran ekonomi yang meleset akibat pandemik COVID-19. Situasi ini berbeza dengan kebanyakan perniagaan lain yang kebanyakan sudah gulung tikar menanggung kerugian.

Bagi Hafiz Hiew, keseimbangan antara harta di dunia dengan akhirat perlulah sama atau lebih daripada di dunia. Dengan menggunapakai sistem pemasaran pelbagai tingkat (MLM), TDC Holdings Sdn. Bhd. perlu komited dalam usaha membantu orang lain menjana pendapatan tambahan menerusi produk yang berkualiti. Begitulah fokus utama syarikat di bawah kepimpinan Cina mualaf ini, yang sentiasa menjaga kesejahteraan dan kebajikan pekerja dan masyarakat.

Sebelum menamatkan bicara, Hafiz Hiew turut berpesan, “hidup merupakan suatu perjuangan bukanlah pertandingan. Berniagalah walaupun hanya menjual tisu, sekurang-kurangnya kita mencari rezeki dengan usaha diri sendiri tanpa menjadi pengemis jalanan, kerana diri masih mempunyai kudrat. Jadikanlah platform perniagaan sebagai satu kejayaan. Contohilah Rasulullah SAW dan para sahabat yang mengembangkan ekonomi Islam dengan hebat sekali melalui perniagaan”.

Antara usahawan yang berjaya dibawah legasi TDC Holdings.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.