Oleh Amirah Zainal
5 November 2021, 12:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Penubuhan EZ Qurban Sdn. Bhd. (EZ Qurban) pada tahun 2007.

Peristiwa dipandang sinis oleh sebilangan kecil sesetengah pihak pada tahun 2007 terhadap penubuhan EZ Qurban Sdn. Bhd. (EZ Qurban), tidak dapat dilupakan oleh Ahmad Fadzlullah Hasanuddin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban Sdn. Bhd. Pada masa itu, tiada syarikat seumpamanya yang menawarkan perkhidmatan ibadat korban kepada umat Islam bagi menterjemahkan pengorbanan Nabi Ibrahim AS untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS atas perintah Allah SWT.

Korban atau dalam bahasa Arabnya, “qurban” bermaksud dekat atau mendekatkan atau disebut juga Udhhiyah atau Dhahiyyah secara harfiah bererti haiwan sembelihan. Pelaksanaan korban merupakan antara ibadah penting kepada umat Islam yang melibatkan penyembelihan haiwan ternakan (seperti kambing, biri-biri, unta dan lembu) untuk dipersembahkan kepada Allah SWT. Pelaksanaan korban dilakukan pada 10 Aidiladha (11, 12 dan 13 hari tasyrik) bulan Zulhijah dalam kalendar Islam.

Ahmad Fadzlullah Hasanuddin, Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban Sdn. Bhd.

Perniagaan berasaskan aktiviti korban dan akikah tidak mungkin dapat dikomersialkan dan kebiasaannya ibadat korban ini hanya dilakukan di masjid dan surau atau di tepi kawasan perumahan. Perkara inilah yang sering dimomokkan oleh sesetengah masyarakat umum terhadap teras perniagaan EZ Qurban.

“Bayangkan, jika kami mendengar dan mengambil serius terhadap pandangan negatif tersebut, nama EZ Qurban mungkin tidak berjaya sehingga ke peringkat ini. Tidak mungkin perniagaan berasaskan ibadat umat Islam yang hukumnya ialah sunat “muakkad” (sangat dituntut) ini begitu mudah dilaksanakan dengan bantuan teknologi maklumat dan penggunaan telefon pintar, semuanya di hujung jari sahaja.

Menurut Nor’adzimah Hassanuddin, Pengarah Urusan EZ Qurban, syarikat EZ Qurban pada peringkat awal hanyalah bermula dengan tiga orang kakitangan di sebuah pejabat di Batu Caves, Selangor. Tenaga kerja mereka pada ketika itu masih lagi kurang cekap dan tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan perniagaan berkaitan dengan perkhidmatan sehenti ibadat korban dan akikah.

Nor’adzimah Hassanuddin, Pengarah Urusan EZ Qurban.

Semuanya masih janggal dan asing. Aktiviti dan urusan korban dan akikah semuanya dilakukan secara manual, iaitu daripada urusan pendaftaran, pemilihan lokasi pelaksanaan korban dan akikah, urusan pembayaran perkhidmatan sehinggalah urusan surat-menyurat.

“Namun begitu, hal ini tidak mematahkan semangat kami untuk berhenti meneruskan perniagaan walaupun menerima pelbagai maklum balas terhadap perniagaan EZ Qurban. Alhamdulillah, selepas 15 tahun membuka syarikat ini, EZ Qurban terus mengorak langkah dan mencipta pelbagai kejayaan demi kejayaan yang tidak pernah terjangkau oleh saya dan suami, Azhar Ab. Shukur yang merupakan pencetus kepada perniagaan ini.

Kemajuan Perniagaan EZ Qurban

Perniagaan yang berdaya saing tidak semestinya berteraskan produk dan perkhidmatan perniagaan yang konvensional. Walaupun terdapat sesetengah ahli perniagaan melihat potensi dalam bidang perniagaan seperti membuka agensi pelancongan yang menguruskan jemaah menunaikan haji dan umrah, penjualan pakaian yang mengikut sunah agama Islam (seperti jubah, tudung, telekung, sejadah dan kopiah) dan menjual pelbagai produk makanan mungkin menjadi satu daripada pilihan perniagaan yang tepat, namun sebaliknya bagi perniagaan EZ Qurban.

Pasaran perniagaan yang berbentuk konvensional amat kompetitif dan tepu pasarannya. Bagi menyediakan pusat sehenti untuk umat Islam menunaikan ibadat korban dan akikah pada 15 tahun yang lalu merupakan idea yang tidak masuk akal. Maka itu, EZ Qurban melihat perkara ini sebagai satu peluang dan ruang yang sangat terbentang luas untuk mereka menerokai bidang perniagaan ini.

EZ Qurban mendapat pengiktirafan The Brandlaureate, Jenama Halal Terbaik Dunia (Perkhidmatan Akikah dan Korban).

“Setiap tahun jumlah haiwan korban yang dilaksanakan di masjid dan surau amat tinggi sehingga permintaan daripada umat Islam untuk melaksanakan ibadat tersebut tidak dapat ditampung oleh pihak berkenaan. Maka demikian, inilah merupakan satu peluang keemasan dan memberikan idea kepada kami untuk mewujudkan syarikat (badan profesional) yang menguruskan aktiviti korban dan akikah sepenuhnya,” kata Ahmad Fadzlullah.

“Pada tahun pertama perniagaan kami beroperasi, jumlah haiwan sembelihan yang kami kendalikan untuk khidmat korban dan akikah berjumlah 200 ekor. Pada tahun berikutnya, jumlah tersebut semakin meningkat kepada 400 ekor haiwan ternakan dan seterusnya kepada 800 ekor haiwan pada tahun ketiga beroperasi. Berdasarkan rekod EZ Qurban, sebanyak 150 ribu ekor haiwan ternakan telah dikendalikan bagi tujuan ibadat tersebut daripada tahun pertama operasi hingga tahun 2021.

“Perkembangan ini mendorong usaha yang lebih baik dalam menterjemahkan misi dan visi penubuhan EZ Qurban dengan motonya, “Keutamaan untuk Anda, Keperluan untuk Ummah”. Perkembangan positif dan peningkatan jumlah pelanggan tersebut membuatkan EZ Qurban menerokai pelbagai peluang dalam pasaran global,” ujar Nor’adzimah lagi.

Perubahan Gaya Hidup, Kemajuan Teknologi dan Telefon Pintar

Tidak dapat dinafikan, perubahan gaya hidup sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat dan penggunaan telefon pintar memungkinkan pelbagai kaedah perniagaan dijalankan dengan lebih efisien. EZ Qurban tidak terkecuali menerima tempias positif daripada perkembangan tersebut. Syarikat ini saban tahun memperuntukkan sejumlah modal yang amat besar dalam menjayakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berkaitan dengan kaedah perniagaan secara dalam talian sehingga diiktiraf sebagai syarikat e-Dagang.

“Penggunaan telefon pintar dapat dimanfaatkan dengan pelbagai aplikasi dan urusan permohonan serta pembayaran. Kini, tiada lagi penggunaan borang dan pelbagai proses yang rumit yang perlu dilalui oleh pelanggan kami. Senario ini membantu EZ Qurban lebih realistik untuk memantau proses permohonan ibadah korban dan akikah oleh pelanggan yang mengambil perkhidmatan kami.

“Selain itu, hal ini turut memudahkan proses pengesahan maklumat pelanggan, pembayaran, mengesan status pelaksanaan, mengemas kini data yang perlu dibekalkan kepada pelanggan dan pastinya memudahkan syarikat kami menguruskan setiap pelanggan yang mempunyai 1001 ragam dan permintaan,” jelas Ahmad Fadzlullah.

Menyentuh tentang potensi perniagaan perkhidmatan korban dan akikah, Ahmad Fadzlullah menjelaskan syarikat ini sentiasa melakukan pelbagai dapatan agar mereka dapat mengubah strategi perniagaan berdasarkan elemen semasa. Berdasarkan bayi beragama Islam ialah sekitar 500 ribu orang. Hal ini bermakna sebanyak 500 ribu ekor kambing diperlukan. Jumlah yang besar ini sebenarnya sangat berpotensi jika syarikat yang menyediakan urusan korban dan akikah mampu menguruskannya. Oleh itu, sebagai pusat sehenti yang menguruskan hal ini perlu berusaha memberikan pendedahan untuk mendidik masyarakat agar melaksanakan ibadat sunat, seperti korban dan akikah.

Idea Penubuhan Syarikat

“Pada tahun 2003, saya dan suami tinggal di Kemboja, apabila tiba sahaja hari raya korban, berpusu-pusu rakyat Malaysia datang ke negara tersebut bagi menjayakan ibadat korban. Hal ini dikatakan demikian kerana umat Islam di Kemboja pada ketika itu sangat daif dan miskin. Mereka tidak mampu untuk menikmati kehidupan yang selesa sehinggakan struktur rumah mereka tidak seperti yang kita bayangkan seperti bekalan air bersih yang tidak mencukupi, apatah lagi untuk menikmati makanan seperti daging (kambing dan lembu) pastinya jauh panggang dari api.

“Maka timbullah persoalan berkaitan dengan senario sebegini dan mengapakah tidak diwujudkan sebuah syarikat (organisasi) yang menyediakan perkhidmatan sehenti untuk ibadat korban dan akikah ini? Sebaik-baik sahaja pulang semula ke Malaysia, kami tidak menjadikan idea dan omongan ketika di Kemboja itu sekadar perbualan kosong semata-mata, maka tertubuhlah EZ Qurban,” ujar Nor’adzimah yang mempunyai impian dan Hasrat menjadikan EZ Qurban sebagai syarikat yang progresif.

“Penjenamaan sangat penting kepada kami kerana selain daripada menguar-uarkan perkhidmatan yang ditawarkan bagi mendidik masyarakat Malaysia tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh EZ Qurban, hal ini juga merupakan satu kaedah agar umat Islam di negara ini dapat berkongsi kemakmuran dan kemampuan dalam melaksanakan ibadat tersebut untuk dikongsikan kepada golongan yang tidak berkemampuan bukan sahaja di Malaysia, malah di 37 buah negara yang terlibat.”

“Selain daripada menerbitkan iklan komersial (TVC) dan jingle untuk siaran televisyen, radio dan media maya, EZ Qurban juga menaja program seperti Syahadah yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada sepanjang bulan Ramadan tahun 2017. Langkah ini sangat berkesan dan memberikan impak yang sangat besar kepada teras perniagaan EZ Qurban,” ujar Ahmad Fadzlullah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.