16 Ogos 2021, 20:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Bursa Malaysia memulakan minggu urus niaga dengan nilai yang rendah.

Akibat sentimen lemah berikutan perkembangan politik semasa dan semua pihak lebih memberikan perhatian terhadap pertukaran pentadbiran kerajaan, dagangan di Bursa Malaysia terpaksa memulakan urus niaga pada indeks utama di bawah paras 1500 mata.

Hal ini dilaporkan, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 9.02 mata (0.60 peratus) kepada 1496.09 berbanding dengan 1505.11 pada hari jumaat yang lepas.

Suasana pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi, iaitu sebanyak 633 kaunter rugi berbanding dengan 377 kaunter untung, diikuti 422 kaunter tidak berubah, 799 tidak diniagakan dan 19 kaunter yang lain digantung.

Menurut Vincent Lau, Ketua Jualan Ekuiti Rakuten Trade, bursa tempatan mengurangkan beberapa penurunan yang dicatatkan pada awalnya, meskipun keadaan yang agak tidak menentu.

“Kami melihat pasaran yang berada di atas paras 1500 mata, sebahagiannya disebabkan oleh berlakunya peralihan yang teratur dan potensi penyelesaian kepada keadaan tidak menentu sekarang. Kami melihat pasaran ini tidak jatuh terlalu teruk seperti yang diduga oleh orang ramai susulan keadaan kini yang tidak menentu. Hal ini mungkin akan melihat aktiviti membeli saham berharga rendah,” katanya lagi.

Terkini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri sebagai Perdana Menteri Sementara sehingga perdana menteri yang baharu dilantik.

Adam Mohamed Rahim, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., berkata Indek FBM KLCI turun 0.25 peratus pada hari ini sejajar dengan kebanyakan bursa Asia lain, seperti Korea Selatan, Jepun dan Hong Kong, yang ditutup rendah susulan pengumuman beberapa angka perdagangan China yang lebih rendah daripada yang dijangkakan.

“Namun begitu, timbul persoalan siapakah yang bakal menggantikan kedudukan Perdana Menteri sekarang? Sehingga keputusan dibuat, pelabur dijangkakan kekal tidak memasuki pasaran susulan keadaan yang tidak menentu ini,” kata Adam.

Berdasarkan sektor yang dilaporkan, Indeks Perladangan meningkat sebanyak 33.82 mata kepada 6247.23, namun Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 51.43 mata kepada 14 731.67 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh sehingga 1.09 mata kepada 187.93.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.