4 Ogos 2021, 07:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah peribahasa yang sinonim dengan kejayaan seorang pengusaha ternakan lembu dan kambing, Mohd. Subhi Mohd. Musuri dari sebuah desa yang berhasil mengembangkan perniagaannya sehingga ke pasaran seluruh negara.

Hanya bermodalkan RM50 000 untuk menternak 10 ekor lembu dan kambing pada tahun 2001 di ladang kelapa sawitnya, Mohd. Subhi, 51, kini mampu tersenyum lega apabila perniagaannya mencecah 10 kali ganda nilai modal pusingan, RM500 000.

Setakat ini, Mohd. Subhi mempunyai tiga ladang ternakan yang terletak di Karak, Pahang; Segamat, Johor; dan Desa Vista, Sepang, menurut kenyataan media Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang mengadakan lawatan ke ladang ternakan beliau, baru-baru ini.

Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II,  ketika melakukan lawatan kerja ke ladang lembu dan kambing Desa Vista, Sepang milik Mohd. Subhi.

“Beliau yang juga mengimport ternakan dari Thailand dan Australia pernah menguruskan ternakan sekitar 200 ekor ternakan, terutamanya ketika musim perayaan.

“Ladang milik Mohd. Subhi yang mengusaha ternakan lebih 20 tahun memiliki ternakan lebih 300 ekor lembu dan kambing. Daripada jumlah berkenaan, 40 lembu dan 40 kambing diusahakan di Desa Vista, 100 ekor lembu di Segamat, sementara 200 ekor bebiri di Karak,” jelas MAFI.

Antara baka lembu yang diternak terdiri daripada baka Brahman, kacukan Kedah Kelantan, lembu sado, lembu Charolais dan lembu kacukan Friesian Sahiwal. Kebanyakan lembu dan kambing yang diternak dibekalkan untuk pasaran tempatan meliputi kegunaan untuk akikah dan korban kepada pihak masjid, surau dan individu sekitar semenanjung Malaysia.

Sepanjang mengusahakan ternakan, Mohd. Subhi berkata, pelbagai cabaran dan masalah yang dihadapi, antaranya kenaikan harga lembu import, bahan mentah bagi menghasilkan makanan ternakan, kekurangan tenaga pekerja, serangan penyakit seperti penyakit kulit berbintil (LSD) dan modal yang tinggi dari segi mendapatkan mesin peralatan pertanian.

Ketiadaan kemudahan, seperti cool room dan rumah sembelih turut memberikan kesan kepada pengurusan ternakan, kongsi Mohd. Subhi.

Walau bagaimanapun, ujar beliau, dengan adanya bantuan dan khidmat nasihat yang diperoleh daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, beberapa masalah yang dihadapi dapat diatasi. Hal ini termasuklah bantuan perkhidmatan suntikan vaksin dan pengambilan darah ternakan secara berjadual, tambahnya.

Dalam strategi pasaran, beliau turut membekal dan mengedar daging mentah kepada peruncit. Melalui kemudahan telefon pula, beliau membekal daging mentah kepada pengguna mengikut musim dan mingguan secara dalam talian dan fizikal.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!