3 Ogos 2021, 13:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi). (Sumber: theSundaily)

Kuala Lumpur – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menzahirkan keyakinan bahawa Pejabat Pelaburan Digital (DIO) mampu untuk menyelaraskan proses permohonan pelaburan digital ke dalam negara, sekali gus menjadi saluran tunggal bagi tujuan berkenaan.

Menerusi penambahbaikan itu, pelabur tidak perlu berurusan dengan pelbagai saluran mahupun agensi promosi pelaburan (IPA) yang berlainan untuk memastikan pelaburan mereka ke dalam negara terjamin.

“Kerajaan memberikan tanggungjawab kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memimpin DIO memandangkan kedua-duanya arif dalam garis panduan dasar dan komited untuk membimbing pelabur bagi mengembangkan pelaburan digital mereka yang berkualiti tinggi di rantau ini,” jelas Mustapa.

Terdahulu, Mustapa telah melancarkan portal Malaysia, Nadi Digital ASEAN (MHODA), iaitu platform tunggal yang akan menarik dan memudahkan pelaburan digital ke dalam Malaysia.

Pengumuman portal itu seiring Bulan Teknologi Malaysia 2021 yang dijangka meningkatkan acara maya selama sebulan untuk menghidupkan program dan promosi digital, serta teknologi.

Seketika itu, Portal MHODA dibangunkan di bawah DIO untuk menyelaras, menyemak dan menilai projek pelaburan digital di samping menyediakan kemudahan menyeluruh kepada para pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman percaya bahawa ekosistem yang baik dalam sesebuah persekitaran operasi penting untuk menyuntik pelaburan berkualiti ke dalam Malaysia.

Katanya, DIO bertindak untuk memperkukuh keupayaan dan tahap daya saing Malaysia sebagai sebuah lokasi perniagaan ideal untuk syarikat dan pemain industri dalam ruangan digital.

Senada beliau, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri menekankan bahawa DIO menjadikan proses penghantaran permohonan pelabur lebih mudah menerusi titik kemasukan tunggal, sekali gus memupuk peluang pelaburan digital yang berkualiti, seiring matlamat MyDIGITAL.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.