3 Ogos 2021, 11:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberikan jaminan bahawa asas ekonomi Malaysia masih teguh walaupun berdepan dengan cabaran penularan COVID-19 yang memuncak ketika ini.

Jelas Tengku Zafrul, prospek pertumbuhan Malaysia pada jangka masa sederhana masih cerah, pasaran modal masih utuh serta sektor kewangan negara miliki kecairan dan modal penampan yang mendalam.

“Dari segi sejarah, tahap pelaburan langsung asing (FDI) dan persekitaran perniagaan Malaysia kekal stabil di sebalik landskap politik semasa. Sebagai contoh, peralihan kerajaan dilakukan secara aman dan teratur pada tahun 2018, manakala di sebalik polemik politik pada tahun 2020, Belanjawan 2021 tetap diluluskan di Parlimen.

“Selain itu, pelabur asing juga mempunyai keyakinan dan kepercayaan pada kekuatan institusi negara apabila FDI menunjukkan trend peningkatan. Pada suku pertama tahun 2021, negara mencatat aliran masuk pelaburan asing sebanyak RM9.1 bilion, peningkatan sebanyak 33.8 peratus dilihat dari tahun ke tahun,” katanya dalam Laporan LAKSANA Ke-63.

Pada bulan lalu, agensi penarafan antarabangsa, seperti S&P dan Moody’s, masing-masing memberikan penarafan A- dan A3 kepada Malaysia. Minggu lepas, Fitch turut mengekalkan penarafan Malaysia di tahap BBB+.

“Penarafan sebegini bukanlah calang-calang diberikan, jauh sekali kepada sesuatu negara yang dianggap ‘gagal’,” katanya lagi.

Malaysia terus menerima pelbagai pelaburan asing, berjumlah hampir RM60 bilion, dari syarikat antarabangsa yang terkemuka baru-baru ini, termasuklah pelaburan dari Microsoft sejumlah A.S.$1 bilion (sekitar RM4.2 bilion); Risen Energy Co. Ltd. (RM42.2 bilion); GIC Pte. Ltd. dalam Sunway Healthcare Holdings (RM750 juta); AT&S (RM8.6 bilion) dan SK Nexilis dari Korea Selatan (RM4.2 bilion).

Pada masa yang sama, jumlah perdagangan Malaysia telah melepasi RM1 trilion dalam tempoh enam bulan, tempoh tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai tanda aras tersebut.

Bagi separuh pertama tahun 2021, jumlah perdagangan bernilai RM1.056 trilion, berkembang 26 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.

Eksport pula meningkat 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion dan import meningkat 21.1 peratus kepada RM470.53 bilion. Hal ini merupakan nilai separuh tahun yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan, eksport dan import. Lebihan dagangan juga melonjak 87.7 peratus kepada RM115.04 bilion.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!