31 Julai 2021, 02:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Agak mengejutkan apabila keputusan kerajaan Malaysia memilih Ericsson Sweden dalam pemberian kontrak bernilai RM11 bilion berbanding dengan pesaing China, Huawei Technologies untuk merancang dan membina rangkaian telekomunikasi 5G di negara ini. Sebelum ini, Huawei merupakan syarikat yang sebut-sebut akan mendapat kontrak tersebut.

Malaysia dijangka menyediakan rangkaian dan ekosistem teknologi generasi kelima atau 5G pada akhir tahun ini yang merangkumi 80 peratus penduduk pada tahun 2024. Sebagai permulaan, perkhidmatan tersebut akan dilancarkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta di Pusat Multimedia Cyberjaya pada tahun 2021.

Lapan vendor yang mengendalikan rangkaian 5G.

The Edge melaporkan pada bulan April lalu bahawa Digital Nasional – entiti Kementerian Kewangan yang diamanahkan untuk memiliki dan mengendalikan rangkaian 5G telah mengundang lapan vendor untuk mengambil bahagian dalam tender, iaitu Ericsson, Huawei, ZTE, Cisco, NEC, Nokia, Samsung dan FiberHome.

Pada Oktober 2019, Huawei dibawa sebagai pembekal perkakasan 5G untuk Maxis, penyedia mudah alih terbesar di Malaysia oleh pelanggan. Di bawah perjanjian itu, syarikat China akan menyediakan peralatan, perkhidmatan dan kepakaran radio 5G untuk rangkaian Maxis, menurut laporan daripada asia.nikkei.com.

Dalam perjanjian tersebut menyatakan bahawa peruntukan spektrum 5G diberikan kepada syarikat telekomunikasi individu dan pilihan pembekal perkakasan bergantung pada pemegang spektrum masing-masing.

Walau bagaimanapun, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan negara telah beralih daripada kaedah peruntukan tradisional dengan menubuhkan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk memiliki aset dan spektrum 5G.

 

Tidak dapat dipastikan bahawa keputusan tersebut sebagai mengimbangi persaingan kuasa antara Barat dengan China atau disifatkan sebagai tindakan daripada China yang mencabar kedaulatan negara baru-baru ini dengan memasuki ruang udara Sabah beberapa bulan lepas. Sekiranya keputusan yang dibuat itu berdasarkan rasional dan pertimbangan ekonomi, maka hal tersebut berkemungkinan mempunyai kaitan dengan isu kewangan.

Menurut kenyataan DNB, Ericsson akan menguruskan pembiayaan bekalan, penghantaran dan pengurusan keseluruhan rangkaian 5G. Keadaan ini tentulah merupakan sesuatu yang diingini kerajaan kerana DNB masih tidak menerangkan sama ada projek tersebut akan dibiayai oleh kerajaan atau pihak swasta.

Jika Ericssson dapat memberikan komitmen, hal  ini bermakna DNB telah menjimatkan satu pertiga daripada kos belanjawan DNB yang berjumlah RM11 bilion yang dijangka dapat mewujudkan 100 000 peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Baru-baru ini kerajaan Ethiopia memutuskan untuk memberikan lesen mengendalikan perkhidmatan telefon pintar berjumlah A.S.$850 juta kepada gabungan konsortium dukungan Amerika Syarikat (AS), iaitu Korporat Pembangunan Kewangan Antarabangsa dan dana pelaburan kedaulatan United Kingdom atau kumpulan CDK yang diketahui oleh Syarikat Vodafone Britain, Safarickom Kenya serta syarikat Jepun Sumitomo. Konsortium syarikat tersebut telah mendapat lesen pengendalian selama 15 tahun di negara kedua terbesar di Afrika.

Abiy Ahmed, Perdana Menteri Ethiopia. (Sumber: Yahoo)

Dalam kenyataan yang dibuat oleh Abiy Ahmed, Perdana Menteri Ethiopia, konsortium tersebut merancang untuk memperoleh keuntungan lebih daripada A.S.$8 bilion di Ethiopia pada masa akan datang.

Ketika China sedang mengembangkan sayap dan pengaruh pelaburannya di benua Afrika, keputusan untuk pasaran telekom secara terbuka menyaksikan kegagalan syarikat China dalam usaha memperoleh lesen telefon bimbit kepada sebuah konsortium sokongan AS.

Namun begitu, rantau Afrika Timur masih menjadi pasaran bagi syarikat dari China. Persaingan pengaruh dan hegemoni dalam perniagaan tentunya akan terus berlanjutan, terutamanya persaingan perniagaan 5G. Oleh hal yang demikian, Malaysia tidak seharusnya “terjebak” dalam permainan ini kerana sebagai sebuah negara kecil impaknya tentulah amat tinggi.

DNB berkata perkhidmatan pertamanya akan bermula pada akhir tahun di zon berteknologi tinggi, seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya. Perkhidmatan seterusnya akan dilancarkan di lima buah bandar utama dan daerah menjelang tahun 2022 dengan 80 peratus penduduk bakal menikmati perkhidmatan tersebut menjelang tahun 2024.

Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Pada Februari lepas, Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia,  telah mengadakan kolaborasi berhubung dengan keselamatan siber nasional dalam makmal ujian Keselamatan Siber 5G pertama di Asia bersama Huaweil Technologies (M) Sdn. Bhd., Celcom Aixata Bhd. dan CyberSecurity Malaysia (CMS) yang berlangsung secara maya.

Namun begitu, rancangan tersebut terhenti pada Jun lalu apabila kementerian mengemukakan spektrum 700 MHz kepada lima buah operator, lantas menjadikan hal tersebut sebagai suatu keputusan yang mengejutkan.

Adakah keputusan tersebut dilakukan atas faktor geopoltik atau pakej yang ditawarkan Ericsson lebih lumayan daripada Huawei? Hal ini merupakan suatu pertimbangan perniagaan yang tentunya tidak dapat ditolak oleh Malaysia, terutamanya dalam situasi ekonomi yang sedang meruncing.


Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (UNISEL).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.