30 Julai 2021, 12:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ada harapan besar untuk sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro dibuka lebih awal selepas kerajaan menerima cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Perkara itu disahkan oleh Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri MEDAC, dengan menyerahkan dokumen cadangan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri dan Menteri Pertahanan dalam satu perjumpaan di Parlimen.

Sesi pertemuan Datuk Seri Dr. Wan Junaidi bersama-sama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen.

Menurut beliau, walaupun MEDAC menyokong sepenuhnya pembukaan lebih banyak aktiviti ekonomi, namun SOP yang jelas sangat penting pada operasi perniagaan dalam kebiasaan baharu ini.

“SOP diperketatkan yang disediakan oleh MEDAC sebenarnya merupakan usaha bersama antara kementerian dengan ahli industri yang mencadangkan input masing-masing. Mereka sangat proaktif dan mampu memberikan kerjasama yang baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Banyak penggiat industri menyatakan kesanggupan untuk beroperasi di bawah SOP lebih ketat, berdasarkan perbincangan kementerian itu.

Antara cadangan yang dibentangkan, termasuklah pemilik perniagaan dan pekerja perlu melengkapkan dua dos suntikan vaksinasi COVID-19 dan menjalankan ujian saringan secara mingguan, serta segera menutup premis bagi tujuan sanitasi sekiranya terdapat kes jangkitan dikesan.

Cadangan SOP itu juga menumpukan kepada enam aktiviti ekonomi di bawah kategori perniagaan yang ditutup awal, namun dibuka paling akhir (First to Close Last to Open, FCLO) seperti makanan dan minuman, pusat beli-belah, kedai jam tangan, rawatan kuku kaki dan tangan atau perkhidmatan dandanan, salun kecantikan dan rambut.

Hampir separuh daripada aktiviti perniagaan yang dikenal pasti itu dimiliki oleh usahawan wanita, yang merupakan antara golongan paling terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di seluruh Malaysia.

SOP itu merangkumi garis panduan yang menyeluruh, bermula daripada aspek pengendalian pelanggan, pengurusan staf, waktu beroperasi sehingga pengurusan penyelenggaraan premis bagi memastikan semuanya patuh terhadap keperluan keselamatan pascapandemik COVID-19.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.