25 Jun 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Koridor pembangunan ekonomi, Iskandar Malaysia di Johor menyaksikan aliran masuk pelaburan projek mencecah RM7.33 bilion antara Januari hingga April 2021, dengan 20 peratus daripadanya melibatkan pelabur domestik dan 80 peratus merupakan pelabur asing.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, pelaburan yang diraih itu merupakan petunjuk positif bahawa Iskandar Malaysia masih dapat mengekalkan kepercayaan kepada pelabur.

“Kami berharap keyakinan akan berterusan dan menggalakkan pelabur lain untuk melihat wilayah ini sebagai sebuah platform ideal untuk memulakan, membangunkan semula dan mengembangkan perniagaan, serta operasi mereka pada ketika ini atau sebagai persediaan selepas pandemik COVID-19.

Kami amat menghargai sokongan dan kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terhadap projek pembuatan di Iskandar Malaysia dan menantikan pelaksanaan projek berkenaan pada tahun ini walaupun berdepan cabaran semasa. Pada tahun 2020, projek yang diluluskan untuk dibangunkan di wilayah ini, termasuklah dari China, Jepun dan Singapura,” kata Ismail dalam kenyataan sidang media.

Tiga industri utama yang diluluskan itu melibatkan peralatan pengangkutan, elektrik dan elektronik serta mesin dan peralatan. Secara keseluruhannya, jumlah pelaburan terkumpul yang dicatatkan di Iskandar Malaysia mencecah sehingga RM341.4 bilion sejak 2006 dan 61 peratus daripadanya telah disempurnakan.

Projek yang disempurnakan itu mencatatkan nilai sebanyak RM209.9 bilion, dipacu oleh sektor pembuatan dan diikuti oleh logistik, pelancongan, perkhidmatan kreatif dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Pada awal tahun ini, Ismail berkata, IRDA juga telah mengumumkan pertanian moden sebagai sebuah sektor ekonomi baharu yang dipromosikan di wilayah berkenaan.  IRDA yakin bahawa usaha itu boleh dicapai kerana terdapat keperluan untuk meningkatkan keselamatan makanan selain permintaan tinggi bagi bekalan makanan berterusan di dalam negara serta dari Singapura.

“Menerusi tanah yang banyak di Johor dan merealisasikan hasrat negeri itu untuk menjadi sebuah bank makanan (food bank), selain daripada teras mejadikan sebuah bandar pintar di Iskandar Malaysia. Kami sangat mengalu-alukan pelabur dan rakan kongsi datang ke wilayah ini untuk bekerjasama dalam membangunkan, memacu dan menerima manfaat daripada inisiatif pertanian moden,” katanya lagi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!