4 Mei 2021, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hobi merupakan aktiviti yang dilakukan untuk keseronokan dan kegembiraan, khususnya ketika waktu lapang, tetapi bukannya sebagai sejenis pekerjaan. Hal ini termasuklah mengumpul barang atau objek tertentu, aktiviti sukan dan melancong dan lain-lain yang membawa impak emosi atau psikologi.

Hobi pilihan seseorang rata-ratanya tidak melibatkan barang atau aktiviti mendesak seperti keperluan makanan, ubat, pakaian mahupun kediaman, sebaliknya sesuatu yang mempunyai nilai tambah kepada keselesaan, kepuasan diri dan memenuhi kehendak emosi atau psikologi.

Jika dahulu ramai mengumpul setem, helaian daun, penutup botol, barang-barang terpakai atau murah, melukis dan membaca untuk nilai sentimental, hobi moden dilihat lebih mahal dan menjadi penanda aras tahap kemewahan individu. Ada yang mengumpul barang kemas, kenderaan mewah, aksesori kenderaan, pakaian berjenama, barang permainan, permainan video, bersukan, melancong dan banyak lagi. Memancing pula menjadi antara hobi yang dahulunya tidak memerlukan belanja besar, tetapi kini dianggap sebagai satu daripada industri besar dengan pelbagai pilihan produk mahal untuk pemancing tegar.

Lain orang lain hobinya. Tidak kurang juga ada yang memandang sinis hobi kegemaran pasangan, ahli keluarga atau rakan-rakan seolah-olah aktiviti sia-sia, membazir dan membuang masa tanpa menyedari “industri hobi” menjadi antara penyumbang utama ekonomi dunia.

Mengambil contoh industri barang mainan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2019, selaku pengimport utama barang mainan dunia bernilai A.S.$97.2 bilion (RM402 bilion) dengan lebih 623 000 peluang pekerjaan dalam industri tersebut (di AS sahaja). Industri permainan video global pada tahun 2018 pula bernilai A.S.$118 bilion (RM488 bilion) dan dianggarkan melangkaui A.S.$138 bilion (RM571 bilion) pada tahun 2021.

Industri hobi menjadi antara penyumbang utama ekonomi dunia.

Pasaran aksesori kereta pada 2019 dianggarkan bernilai A.S.$175 bilion (RM723.7 bilion) dan dijangka melangkaui A.S.$314 bilion (RM1.3 trilion) pada 2027. Pasaran produk sukan pada 2018 pula dianggar bernilai A.S.$471 bilion (RM1.95 trilion). Pasaran bahan cetakan pada 2019 bernilai A.S.$258.7 bilion (RM1.07 trilion) dengan segmen buku mewakili A.S.$128.2 bilion (RM530 bilion) daripada jumlah tersebut.

Pasaran global untuk produk pakaian pula mencecah A.S.$1.5 trilion (RM6.2 trilion) pada tahun 2020 dan dijangka melangkaui A.S.$2.25 trilion (RM9.3 trilion) menjelang tahun 2025. Industri peralatan memancing rekreasi (bukan nelayan) global bernilai A.S.$671 juta (RM2.77 bilion) pada tahun 2017, tetapi dianggarkan membawa pulangan ekonomi lebih 20 kali ganda kepada ekonomi tempatan (tempat mereka memancing) susulan aktiviti tersebut berkait rapat dengan sewaan bot, pemandu pelancong, penginapan dan lain-lain.

Pasaran global untuk produk pakaian pula mencecah RM6.2 trilion pada tahun 2020 dan dijangka melangkaui RM9.3 trilion menjelang tahun 2025.

Selain impak kewangan dan petunjuk tahap kemewahan individu, hobi dianggap sebagai penanda aras penting bagi menunjukkan tahap kegembiraan seseorang, komuniti, negara mahupun pada peringkat dunia. Mereka yang dibelenggu kesukaran teruk seperti kebuluran mahupun peperangan tidak berkesempatan atau tiada keinginan ke arah hobi kerana lebih mengutamakan kelangsungan hidup. Rata-ratanya, hobi merupakan satu bentuk riadah yang diamalkan mereka yang hidup selesa dan mempunyai lebih banyak masa lapang daripada beban mencari rezeki untuk diri dan keluarga.

Ada juga daripada golongan ini menggunakan alasan masa dan duit yang dihabiskan untuk hobi mereka sebagai satu bentuk pelaburan, tetapi malangnya jarang sekali sesuatu hobi membawa pulangan fizikal (kecuali emas dan barang kemas), pengamal hobi kebiasaannya cuma memberi “sumbangan” satu hala kepada industri yang menyediakan produk atau perkhidmatan berkaitan dengan aktiviti tersebut.

Impak utama dan lebih penting daripada aktiviti ini adalah kepada kesejahteraan emosi dan psikologi individu serta berkumpulan, bagi jangka pendek dan jangka panjang. Pengamal hobi tertentu kebiasaannya menyertai persatuan, kumpulan atau rakan-rakan yang mempunyai hobi serupa dengan sebahagian daripadanya mengadakan festival atau program tertentu untuk meraikan minat mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.