16 April 2021, 14:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Persoalan besar yang terus diajukan oleh hampir semua pihak sekarang ialah tentang iklim ekonomi pascapandemik. Adakah keadaan akan terus lembap dan tidak menentu? Atau sudah wujud petunjuk positif bahawa situasi akan pulih dalam sedikit masa lagi?

Persoalan ini bukan sahaja kritikal, namun sesuatu yang sukar untuk dijawab dengan sebarang kepastian. Baik oleh pihak kerajaan mahu pun sektor swasta. Boleh dikatakan hampir tidak ada pihak, di dalam mahu pun luar negara, yang boleh memberikan jawapan yang jelas. Profesor Madya Brad Potter dari University of Melbourne menggambarkan ekonomi pasca COVID-19 sebagai tidak jelas, kabur dan penuh misteri. Di Australia sahaja, keyakinan pengguna telah merudum sehingga 85.6 peratus seperti yang didedahkan oleh Australia and New Zealand Banking Group (ANZ).

Sekiranya kita merujuk kepada 2021 CEO Outlook PulseSurvey oleh KPMG, 59 peratus CEO di Asia Pasifik percaya bahawa keadaan tidak akan pulih sehingga 2022. Manakala 35 peratus CEO yakin yang perniagaan mereka akan berubah secara kekal. Daripada 500 buah syarikat yang disoal selidik, hanya kira-kira enam peratus CEO di Asia Pasifik yang optimis keadaan akan bertambah baik pada tahun ini. Sebanyak 31 peratus CEO pada peringkat global kelihatan lebih yakin bahawa keadaan akan segera pulih pada tahun 2021, manakala 45 peratus lagi berpandangan bahawa keadaan akan kembali normal hanya pada tahun 2022.

Kaji selidik ini menunjukkan kepada kita dua perkara penting. Pertama, sebahagian besar penggiat industri tidak begitu yakin bahawa keadaan akan kembali normal dalam masa terdekat. Kedua, kebanyakan mereka percaya bahawa bentuk perniagaan akan berubah bentuk secara kekal.

Keadaan ini pastinya mendatangkan beberapa kesan lanjutan yang tidak boleh dielakkan. Misalnya, syarikat-syarikat tidak akan membuat pelaburan baharu atau pelebaran perniagaan secara besar-besaran pada tahun ini. Pada masa yang sama, pelaburan terhadap kemudahan perniagaan atau operasi secara atas talian akan menyaksikan langkah pemerkasaan yang radikal dan serius. Standard Chartered Future Money Survey(2020) menunjukkan kadar pembelian atas talian oleh pengguna meningkat dengan ketara daripada 26 peratus sebelum COVID-19 kepada 48 peratus selepas pandemik melanda. Malah, pembayaran menggunakan aplikasi e-dompet pada tahun 2020 merekodkan peningkatan sehingga 131 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2020 bertarikh 31 Mac 2021, merumuskan tiga perkara penting. Pertama, ekonomi Malaysia dijangka akan berkembang antara enam peratus hingga 7.5 peratus dengan sokongan oleh kedua-dua faktor domestik dan luar. Malah, dijangkakan yang KDNK kita akan kembali pada paras asal sebelum COVID-19 menjelang Mei tahun ini. Prestasi jangkaan ini disandarkan kepada beberapa faktor sokongan seperti program imunisasi yang sedang berjalan, penambahbaikan berkala terhadap pasaran kerja dan polisi sokongan yang berterusan ke atas isi rumah dan perniagaan. Kedua, tindakan Kerajaan memperkenalkan beberapa langkah liberalisasi yang disasarkan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi FDI dan hab rantaian bekalan global, akan memberikan impak positif. Ketiga, keanjalan kadar tukaran ringgit akan turut menyokong pemilihan ekonomi Malaysia.

Jika diteliti, wujud perbezaan yang jelas antara laporan kaji selidik CEO 500 buah syarikat oleh KPMG dan Laporan Tahunan 2020 oleh BNM.Kaji selidik KPMG menunjukkan para CEO syarikat dunia tidak begitu yakin yang keadaan akan segera pulih sebelum tahun 2022. Manakala BNM kelihatan lebih optimis bahawa ekonomi Malaysia mampu mencecah perkembangan sehingga 7.5 peratus dan berupaya untuk kembali berada pada tahap sebelum pandemik menyerang kita. Oleh sebab itu, siapa yang betul dan siapa yang salah?

Sebenarnya, prestasi ekonomi dan jangkaan pasaran tidak semudah siapa yang lebih betul dan siapa yang salah. Kedua-dua pihak, sekali pun mempunyai kesimpulan yang saling berbeza, mempunyai asas dan sandaran masing-masing. Malah, kedua-dua analisis ini perlu diberikan perhatian yang sama penting.

Tidak kiralah laporan atau analisis pihak mana yang ingin kita pegang dan yakini, yang lebih penting, semua pihak mesti mula membuat persediaan yang sewajarnya. Terdapat tiga langkah penting yang boleh dipertimbangkan.

Pertama, orang awam mesti bersedia untuk menyemak serta merancang semula kedudukan kewangan masing-masing. Ini termasuklah memastikan yang sebarang ketidakupayaan untuk melunaskan tanggungjawab kewangan kepada mana-mana institusi kewangan dibawa ke meja rundingan. Melarikan diri atau mengambil pendekatan lepas tangan dengan alasan COVID-19 dan kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan bukanlah suatu langkah yang wajar dan selamat.

Kedua, sekarang adalah waktu terbaik, malah mendesak, untuk kita meneroka sumber pendapatan tambahan yang boleh dilakukan secara atas talian. Perkara ini turut ditegaskan oleh firma khidmat rundingan terkemuka McKinsey dalam From Survivingto Thriving: Reimagining Post Covid-19 rerun yang diterbitkan pada awal Mac lepas.

Ketiga, dalam konteks perniagaan dan pemain industri pula, International Federation of Accountants (IFAC) yang berpusat di New York dalam Small Business Continuity Checklist: How To Surviveand Thrive Post COVID-19 menyarankan kepada pemilih Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menyusun semula kitaran modal pusingan kerja serta sasaran pendapatan untuk tempoh 12 bulan. Selain itu, PKS disarankan mewujudkan sistem kerja yang selamat di samping memperhebat pelaksanaan waktu kerja anjal yang boleh dilakukan dari rumah atau luar pejabat.

Ketidakpastian masa depan pascaCOVID-19 tidak seharusnya melemahkan semangat kita. Tatkala kerajaan mencari jalan keluar yang lebih meyakinkan, semua pihak mesti melakukan persediaan yang bersesuaian. Berbekalkan kecekalan dan minda yang positif, kita pasti boleh mengharunginya. Kita pasti menang!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.