5 April 2021, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Susunan oleh Fatin Syazana Zulkafali

Kerajaan menjangkakan lima hingga 10 tahun lagi Malaysia akan berada pada posisi yang tidak stabil dan merugikan, jika tiada penekanan dalam penarikan pelabur asing sektor digital ke negara ini.

“Malaysia akan terus ketinggalan berbanding dengan Singapura yang bakal menguasai ekonomi digital di rantau Asia dan sekali gus menyebabkan ‘Harimau Asia’ bukan lagi milik negara, jika Indonesia boleh melangkaui Malaysia,” tegas Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata menerusi kenyataan hari ini.

Syarikat IBM yang merupakan antara syarikat teknologi pertama yang melabur di Cyberjaya ketika Koridor Raya Multimedia dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada pertengahan 1990-an akan menutup Pusat Penyampaian Global di Cyberjaya pada 31 Mei.

“Ini satu lagi kerugian buat negara dan bakal terus ketinggalan dalam menguasai ekonomi digital. Pada masa yang sama, penutupan itu mungkin menyebabkan lebih 1000 pekerja kehilangan pekerjaan,” katanya lagi.

Berdasarkan realiti dan situasi semasa, kerajaan perlu cakna terhadap ekonomi negara agar tidak ketinggalan berbanding negara lain di rantau ini. Keadaan ekonomi yang terjejas teruk pada ketika ini tidak boleh disalahkan pada penularan COVID-19 semata-mata kerana Singapura dan Indonesia turut diserang wabak tersebut. Pada masa sama, kerajaan tidak boleh memilih pelaburan ketika pelabur besar memilih negara jiran.

Maka, Shahir menasihatkan menteri perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab agar tidak meremehkan kegawatan ekonomi dengan menggesa anak muda dan graduan untuk bersyukur dengan kerja gaji yang rendah.

“Tugas menteri adalah untuk membuka peluang pekerjaan dan menarik pelaburan ke negara kita. Amat memalukan apabila anak muda diminta bersyukur untuk menerima gaji di bawah paras gaji minimum RM1200, walhal tiada inisiatif tuntas daripada pihak kerajaan untuk memperbaiki sistem ekonomi, termasuklah penguatkuasaan oleh kerajaan,” ujarnya lagi dalam menekankan setiap peranan dan tanggungjawab kerajaan itu sendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.