2 April 2021, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Susunan oleh: Fatin Syazana Zulkafali

Meskipun seantero dunia berhadapan dengan kemelut ekonomi rentetan penularan wabak COVID-19, Malaysia berjaya mendominasi pasaran sukuk global pada tahun 2020 dengan menguasai 39.2 peratus bahagian pasaran.

Menurut RAM Rating Services Bhd. (RAM Ratings), terbitan sukuk global menunjukkan peningkatan 16.8 peratus, iaitu A.S.$152.6 bilion (AS$1=RM4.14) pada tahun lepas berbanding dengan A.S.$130.6 bilion pada tahun 2019.

“Pasaran sukuk terbesar selepas Malaysia ialah Arab Saudi dan Indonesia, masing-masing pada 20.4 peratus dan 17.5 peratus. Secara kolektifnya, pasaran ini mampu menyumbang sebanyak 77.1 peratus pada terbitan sukuk global”, katanya dalam laporan Sukuk Snapshot.

Impak penularan COVID-19 menyaksikan terbitan kukuh daripada negara di dunia pada tahun 2020 untuk membiayai pakej rangsangan bagi menyokong ekonomi yang terjejas akibat pandemik itu. Pertumbuhan ekonomi tempatan disokong oleh dasar monetari yang menyokong dan perbelanjaan kukuh kerajaan.

“Hasilnya, terbitan kerajaan meningkat 9.2 peratus dari tahun ke tahun kepada A.S.$87.5 bilion pada tahun 2020 berbanding dengan A.S.$80.1 bilion pada tahun 2019,” katanya.

Terbitan utama mencatatkan Malaysia menguasai 28.2 peratus (A.S.$24.6 bilion), Indonesia dengan 29.9 peratus (A.S.$26.2 bilion) dan Arab Saudi dengan 20.7 peratus (A.S.$18.1 bilion) daripada bahagian pasaran tersebut. Hal ini menunjukkan ketiga-tiga negara ini telah menyumbang lebih dua pertiga daripada terbitan kerajaan global pada tahun 2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.