Diterbitkan pada 13 Januari 2025, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jika ingin memperkatakan mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari sudut pengurusan kewangan, ternyata banyak isu yang boleh dibincangkan dan dikupas. Kehebatan KWSP sebagai institusi tabungan khusus untuk pekerja di negara ini tidak dapat dipertikaikan lagi. Dengan dana yang kukuh dan mencukupi, KWSP boleh dijadikan sebagai tanda aras (benchmark) kepada mana-mana institusi tabungan, baik di dalam mahupun di luar negara untuk dijadikan model yang patut dipelajari serta dicontohi.

Artikel ini ditulis dengan tujuan untuk mengaitkan formula kejayaan KWSP berkenaan simpanan dengan pengurusan kewangan peribadi. Hal ini penting kerana penulis percaya beberapa pengajaran yang boleh diambil oleh individu tentang kaedah KWSP mengurus simpanan mereka dengan efisien dan efektif. Walaupun KWSP merupakan agensi di bawah Kementerian Kewangan, namun tidak salah untuk melihatnya dari perspektif yang jarang diketengahkan terutamanya dalam konteks manfaat tabungan individu.

Pertama, konsep simpanan paksa memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan menabung. Simpanan paksa terbukti berkesan kerana masalah disiplin menabung secara konsisten merupakan cabaran utama bagi rakyat Malaysia. Walaupun idea menabung bukanlah sesuatu perkara yang baharu, amalan ini sering kali dilaksanakan secara sukarela dan bergantung pada kesedaran individu.  Sebagai contoh, peribahasa Melayu popular yang terkenal “Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit” mengajar kita bahawa menyimpan walaupun sedikit, lama-kelamaan akan membuahkan hasil yang besar. Orang dahulu juga menggunakan pelbagai cara kreatif untuk menyimpan duit simpanan mereka seperti di tilam, dinding, buku atau al-Quran dan sebagainya, walaupun cara ini berisiko. Hal ini jelas menunjukkan bahawa walaupun tiada formula pengurusan gaji atau perkhidmatan bank simpanan pada ketika itu, namun nenek moyang kita telah mengamalkan tabiat menabung ini.

Tabiat menabung boleh berjaya jika seseorang mempunyai disiplin diri yang tinggi. Tanpa disiplin, kebanyakan individu gagal untuk menyimpan secara konsisten dan ada yang tidak dapat mengawal kewangan mereka atas pelbagai alasan peribadi.

Oleh itu, untuk menjadikan simpanan sebagai amalan yang serius dan profesional, KWSP memperkenalkan kaedah simpanan paksa, iaitu setiap pekerja di Malaysia diwajibkan mencarum dalam KWSP mengikut Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991. Menurut Seksyen 43(1), Akta KWSP 1991, bahawa “Tertakluk kepada peruntukan Seksyen 52, setiap pekerja dan majikan perlu membayar caruman bulanan berdasarkan amaun upah pada kadar dan tarikh yang ditetapkan bagi memastikan simpanan tersebut sentiasa berjalan lancar.

Sebagai pencerahan, caruman disini merujuk kepada potongan wajib daripada gaji pekerja yang merupakan syer pekerja beserta dengan tambahan syer majikan yang perlu dicarumkan dalam tempoh yang ditetapkan. Caruman bagi sesuatu bulan pula merupakan potongan gaji bulan sebelumnya. Sebagai contoh, syer pekerja bagi potongan gaji bulan bulan Januari 2024 bersama-sama dengan syer majikan hendaklah dibayar sebagai caruman bulan Februari sebelum atau pada 15 Februari 2024. Pendek kata, caruman bulanan sebenarnya menyerlahkan komitmen majikan terhadap kesejahteraan pekerja dan juga bagi memenuhi kewajipan undang-undang.

Kegagalan membayar caruman KWSP pada waktunya merupakan satu kesalahan serius dan bagi tujuan melindungi hak pekerja, pihak KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang ingkar. Hal ini menunjukkan bahawa KWSP sentiasa komited dalam melindungi hak pekerja dan memastikan kepatuhan yang tinggi terhadap peraturan yang ditetapkan.

Formula kedua ialah hadkan pengeluaran. Setelah mencaruman secara konsisten, adalah tidak bijak sekiranya ahli mengeluarkan duit simpanan mereka secara sesuka hati tanpa kawalan. Jika ini berlaku, akaun KWSP mereka akan berfungsi seperti akaun simpanan biasa di bank, iaitu setiap kali gaji masuk, duit terus dikeluarkan dan akhirnya baki simpanan semakin berkurangan.

Walaupun pengeluaran dibenarkan, haruslah mengikut syarat yang ditetapkan oleh KWSP. Pada hemat penulis, perkara ini boleh dianggap sebagai situasi “menang-menang”. Maksudnya untuk jangka panjang, KWSP dapat memastikan bahawa dana mereka kekal bagi tujuan persaraan ahlinya dan sebagai pelaburan. Untuk jangka pendek pula, ahli dapat menggunakan duit tersebut bagi tujuan tertentu seperti pendidikan, perumahan atau kesihatan.

Terkini, pihak KWSP memperkenalkan Akaun 3 atau Akaun Fleksibel. Hal ini demikian kerana rentetan penstrukturan baharu, yang mana KWSP telah memperkenalkan tiga akaun baharu, iaitu Akaun Persaraan (sebelum ini disebut Akaun 1); Akaun Sejahtera (sebelum ini disebut Akaun 2); dan Akaun 3. Secara ringkas, akaun ini membolehkan ahli mengakses simpanan mereka bagi keperluan kecemasan atau segera. Walaupun terdapat pro dan kontra terhadap Akaun Fleksibel ini, namun diakui dapat membantu mengatasi isu pengeluaran caruman yang besar seperti yang berlaku semasa pandemik COVID-19 sebelum ini.

Formula terakhir ialah pemantauan. Setelah simpanan dilakukan secara konsisten dan pengeluaran dikawal, pemantauan yang berterusan terhadap dana tersebut adalah penting untuk memastikan kekal mapan. KWSP perlu memastikan bahawa pelaburan yang dilakukan adalah selamat dan sentiasa membawa laba kepada ahlinya.

Berdasarkan Sorotan Lima Tahun Kewangan KWSP (tahun 2016 hingga 2020), jumlah Aset KWSP (RM Juta) daripada 742,324.48 (2016) telah meningkat kepada 1,003,372.15 (2020). Sementara bagi Pendapatan Pelaburan Kasar (RM Juta) turut meningkat daripada 46,557.22 (2016) kepada 55,743.64 (2020). Untuk pulangan pula, Dividen Dikreditkan ke Akaun Ahli (RM Juta) daripada 37,076.32 (2016) juga meningkat kepada 47,642.29. Hal ini menunjukkan bahawa KWSP menguruskan dana dengan bijak dan melaburkannya bagi mendapat pulangan yang baik untuk diagihkan kepada ahlinya dalam bentuk dividen.

KWSP menjadi Model

Sejarah membuktikan bahawa sejak penubuhan KWSP tahun 1951 hinggalah sekarang, banyak kejayaan telah diraih oleh institusi ini. Menyusuri Jejak Kejayaan KWSP: 1951-2020 (www.kwsp.gov.my), terdapat rentetan peristiwa penting yang dirakamkan antaranya termasuklah KWSP ditubuhkan di bawah Ordinan KWSP 1951, dan diletakkan di bawah pentadbiran Pengarah Pos Kebangsaan (1951); Rangkaian KWSP berkembang dengan pendaftaran 518,948 ahli dan 11,918 majikan serta caruman berjumlah RM2.6 juta (1952); KWSP telah melabur dalam pelaburan jangka pendek dan jangka panjang dalam sekuriti Kerajaan Persekutuan, Singapura dan Majlis Tempatan (1956); Lembaga KWSP mengambil alih pentadbiran KWSP daripada Pengarah Pos Kebangsaan (1958); Bangunan ibu pejabat di Petaling Jaya, Selangor dibuka secara rasmi pada bulan November (1960); Rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pengerusi Lembaga KWSP, iaitu Tan Sri Dato’ Abdul Jamil Abdul Rais (1961); Liputan perlindungan KWSP diperluaskan hingga ke Sabah dan Sarawak (1969).

Selain itu, bagi menyambut ulang tahun ke-30, Menteri Kewangan meletakkan batu asas bangunan baharu KWSP setinggi 28 tingkat Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur (1981). Pada 22 Julai 1982, Ordinan KWSP 1951 menjadi Akta KWSP 1951; Akta KWSP 1951 (Pindaan 1982) telah digantikan dengan Akta KWSP 1991, yang memperkenalkan perubahan besar dalam peraturan pelaburan, pengeluaran dan penguatkuasaan. Seiring dengan perkembangan zaman, KWSP juga memperkenalkan sistem pengurusan Balanced Scorecard pada tahun 2004 untuk menjadikan KWSP sebagai sebuah organisasi keselamatan sosial bertaraf dunia.

Pada tahun 2016, KWSP melancarkan Simpanan Shariah yang memberikan pilihan kepada ahli untuk mengurus simpanan mengikut prinsip syariah. Pada tahun 2017, KWSP mengumumkan dividen 6.40 peratus untuk Simpanan Shariah dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM3.98 bilion. Pada tahun 2019, KWSP menandatangani Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kejayaan KWSP bukan sahaja di dalam negara, malah turut menjadi rujukan global. Dengan dana yang bermula daripada RM2.6 juta pada tahun 1952, kini KWSP menjadi satu daripada dana persaraan terbesar di dunia dengan jumlah aset lebih daripada RM800 bilion. Laporan Kajian Kes oleh Bank Dunia (2018) mendedahkan bahawa kejayaan KWSP bersandarkan pada tiga faktor utama, iaitu struktur tadbir urus yang kukuh, kepelbagaian cabang pelaburan dan profesionalisme serta integriti. Perkara ini disokong dengan strategi pelaburan KWSP yang menghasilkan pulangan lebih baik dengan mempelbagaikannya kepada kelas aset baharu dan pasaran asing.

Masyarakat boleh mencontohi kejayaan KWSP dalam pengurusan kewangan. Formula pertama yang boleh diamalkan ialah “Simpan Dahulu Baru Belanja.” Maksudnya setiap kali dapat gaji atau pendapatan, asingkan dulu 10 peratus terlebih dahulu dan barulah gunakan yang selebihnya untuk perbelanjaan. Jika kita membelanjakan duit dahulu, kebiasaannya wang akan habis begitu sahaja, dan tiada simpanan yang dapat dilakukan. Formula kedua ialah mewujudkan tabung kecemasan dengan simpanan tersebut hanya boleh dikeluarkan bagi tujuan kecemasan sahaja. Sebaiknya simpanan yang dibuat hendaklah yang tidak mudah diakses, contohnya melalui akaun simpanan tetap di bank agar tidak mudah dibelanjakan.

Setelah memiliki dana kecemasan, langkah  seterusnya dibuat untuk tujuan pelaburan. Hal ini merupakan formula terakhir bagi memastikan wang kita berkembang menggunakan “kuasa kompaun”. Simpanan kita boleh dilaburkan di institusi yang selamat seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk bumiputera dan Amanah Saham Malaysia (ASM) untuk semua kaum. Biarkan duit itu berkembang dengan dividen yang diterima dan dilaburkan semula bersama dengan duit prinsipal (pokok) untuk memperoleh pulangan berganda dalam jangka panjang.

Tuntasnya, dari aspek pengurusan kewangan peribadi, formula di atas bukanlah suatu perkara baru. Perkara ini turut disarankan oleh tokoh kewangan tersohor seperti Azizi Ali. Simpan, kawal perbelanjaan dan kembangkan duit menerusi pelaburan adalah asas dalam literasi kewangan yang perlu difahami dan diamalkan oleh setiap rakyat Malaysia.  Hal ini bukan sahaja untuk mencapai kestabilan kewangan peribadi tetapi juga untuk memastikan kita bersedia menghadapi cabaran kewangan pada masa hadapan.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi